Khamis, 13 Januari 2022 | 4:30pm
 - Foto hiasan
- Foto hiasan

PPV WTCKL kembali dibuka, sedia 9,000 dos setiap hari

KUALA LUMPUR: Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) kembali menjadi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Penggalak (Booster) (PICK-B) selaras visi Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mempertingkatkan kapasiti pemberian vaksin dos ketiga itu.

Ketua Pegawai Operasi WTCKL, Fauzy Wahab, berkata sebanyak 9,000 dos vaksin AstraZeneca akan disediakan setiap hari.

Katanya, terdapat tiga penganjur penjagaan kesihatan (HCO) yang terbabit dalam program vaksinasi mega iaitu BookDoc, BP Healthcare dan U.N.I Klinik.

"Waktu operasi adalah jam 8.30 pagi hingga 9 malam setiap hari bermula Sabtu ini sehingga 15 Mac ini.

"Janji temu vaksinasi akan diberikan melalui aplikasi MySejahtera atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kerana 'walk-in' tidak lagi dibenarkan seperti dimaklumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin," katanya dalam satu kenyataan.

Penerima vaksin dinasihatkan membawa pen sendiri untuk mengisi borang kebenaran sebagai usaha meminimumkan sentuhan fizikal melalui perkongsian pen di pusat vaksinasi seterusnya membantu mengurangkan penularan wabak COVID-19.

Fauzy berkata, laluan khas disediakan di PPV WTCKL untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) dan warga emas.

"Kita juga menyediakan bilik bertenang untuk penghidap Gangguan Spektrum Autisme, Kecelaruan Keresahan (Anxiety Disorder) dan Serangan Panik (Panic Attack) serta bilik perubatan khas untuk sebarang kes kecemasan di PPV Mega WTCKL," katanya.

Beliau berkata kaunter pertanyaan juga disediakan di sebelah pintu masuk utama WTCKL dengan menawarkan bantuan segera kepada orang ramai yang mempunyai sebarang isu berkaitan janji temu vaksin atau hal berkaitan MySejahtera.

"Selain itu, KKM juga bercadang untuk membuka pusat panggilan di PPV Mega WTCKL bagi menjawab sebarang pertanyaan berkaitan vaksin. Walau bagaimanapun, ia masih belum diputuskan oleh pihak kementerian," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, berkata pembukaan semula WTCKL sebagai PPV Mega adalah satu daripada cara pihaknya menyumbang balik kepada rakyat dan negara.

"Kami sentiasa bersedia untuk membuka semula PPV Mega WTCKL seperti yang dilakukan sebelum ini ketika PICK.

"Program itu berjaya memberikan 1.3 juta dos vaksin AstraZeneca kepada 645,000 orang seterusnya menjadikan kami PPV Mega dengan jumlah dos suntikan terbanyak diberikan di negara ini

"Kami sentiasa bersedia untuk meningkatkan kapasiti yang lebih besar dari ini sekiranya kerajaan mahu berbuat demikian," katanya.

Dos penggalak : PPV Mega WTCKL kembali dibuka
Dos penggalak : PPV Mega WTCKL kembali dibuka

Berita Harian X