Khamis, 13 Januari 2022 | 4:16pm
(Gambar fail) Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan
(Gambar fail) Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan

Sijil palsu vaksinasi: Orang awam digesa jadi 'mata, telinga' pihak berkuasa

KUALA LUMPUR: Orang awam digesa memainkan peranan sebagai 'mata dan telinga' kepada pihak berkuasa untuk membantu usaha membanteras sebarang kegiatan penjualan sijil palsu vaksinasi COVID-19 di negara ini.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata inisiatif orang ramai itu sangat penting bagi menyalurkan maklumat diperlukan, di samping hasil risikan dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pada masa sama, katanya, PDRM turut disaran mempergiatkan pemantauan serta pemeriksaan mengejut di pusat perubatan susulan pembongkaran kegiatan penjualan sijil vaksinasi COVID-19 dipercayai palsu membabitkan penahanan seorang doktor klinik swasta di Marang, Terengganu, baru-baru ini.

Beliau berkata, pemeriksaan mengejut itu boleh dijalankan dari semasa ke semasa di lokasi tertentu, berdasarkan hasil risikan polis serta maklumat disalurkan orang ramai.

"Polis tidak dapat memantau semua pusat perubatan, justeru amat penting untuk orang awam menjadi 'mata dan telinga' kepada pihak berkuasa. Penguat kuasa perlu ada maklumat tertentu.

"Bagaimanapun, saya berpendapat isu pembelian sijil palsu seumpama itu dalam kalangan individu antivaksin, masih terkawal," katanya kepada BH, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Polis Terengganu membongkar kegiatan penjualan sijil vaksinasi COVID-19 dipercayai palsu, apabila merampas hampir 100 kad peringatan imunisasi (janji temu) serta menahan seorang doktor sebuah klinik swasta di Marang, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, doktor lelaki berusia 51 tahun itu ditahan dalam operasi dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JKJK).

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa, dipetik berkata serbuan dilakukan hasil maklumat diterima mengenai kegiatan penipuan disyaki membabitkan pengeluaran sijil vaksin kepada golongan tidak mahu disuntik vaksin atau antivaksin.

Beliau berkata, suspek disyaki melakukan urusan penjualan itu secara dalam talian sejak September lalu, dengan setiap sijil dikata dikenakan bayaran antara RM400 hingga RM600.

Mengulas lanjut, Musa berkata, isu penjualan sijil palsu berkenaan perlu ditangani secara berkesan melalui kerjasama PDRM dengan pelbagai agensi berkaitan, termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Pada masa sama, beliau menasihati orang ramai supaya menerima suntikan vaksin dan mematuhi arahan pihak berkuasa, dalam usaha bersama mengekang penularan COVID-19 di negara ini.

"Tindakan tidak mendapatkan imunisasi dan membeli sijil palsu vaksinasi hanya akan menimbulkan pelbagai kesulitan serta membahayakan kesihatan orang lain," katanya.

Berita Harian X