Khamis, 13 Januari 2022 | 3:32pm
(Gambar fail) Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. - NSTP/ASYRAF HAMZAH
(Gambar fail) Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. - NSTP/ASYRAF HAMZAH

Bersama tangani kesan perubahan iklim - Sultan Nazrin

IPOH: Seluruh rakyat Malaysia perlu terus bekerjasama untuk melindungi alam semula jadi dan mengurangkan kesan kerosakan akibat perubahan iklim, berikutan usaha itu amat penting bagi memelihara kemakmuran dan kelangsungan negara.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini, sekali lagi jelas menunjukkan bahayanya kesan yang dibawa perubahan iklim.

"Kesan aktiviti manusia terhadap hidupan liar, iklim, sungai, hutan, dan lautan kita adalah mendalam, begitu juga akibatnya kepada manusia. Langkah bagi memulihkan planet kita ini memerlukan usaha semua pihak, daripada kerajaan sehingga sektor swasta, dan juga orang ramai.

"Ketika memberikan respons baik dalam membantu mereka yang terjejas akibat bencana, kita juga perlu bertegas melangkah untuk memperbaharui usaha menangani punca utama kejadian," titah baginda dalam Ucapan Diraja pada majlis khas sempena ulang tahun ke-50 World Wide Fund For Nature (WWF) Malaysia, yang disampaikan secara maya, hari ini.

Sultan Nazrin turut menekankan bahawa pemuliharaan adalah unsur amat penting dalam pembangunan Malaysia yang mewarisi sumber semula jadi tidak ternilai, termasuk hutan hujan dan kekayaan kepelbagaian biologi.

"Malaysia mempunyai tanggungjawab besar untuk melindunginya secara berkesan. Kita perlu bangkit untuk menghadapi cabaran ini, bagi kita sendiri dan populasi global," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, komitmen teguh Malaysia terhadap pemuliharaan boleh dilihat dalam beberapa aspek, termasuk Dasar Perhutanan Negara yang mewajibkan 50 peratus negara ini perlu kekal dengan liputan hutan.

"Kita ada Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan yang menetapkan komitmen memperuntukkan 20 peratus daripada keluasan tanah kita sebagai kawasan perlindungan. Kita juga komited untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

"Bagaimanapun, apa yang penting ialah semua ikrar dan rancangan ini dilaksanakan sepenuhnya dalam amalan kita.

"Pertubuhan-pertubuhan seperti WWF Malaysia akan terus berada di barisan hadapan dalam usaha ini, untuk 50 tahun akan datang lagi, malah selepas tempoh itu, ketika kita menghadapi cabaran yang mendatang," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, WWF Malaysia memainkan peranan penting selama 50 tahun lalu, dan telah membantu negara ini menghadapi cabaran alam sekitar, seterusnya menjadi suara lantang dalam memperjuangkan pemuliharaan alam semula jadi di Malaysia, bersuara untuk melindunginya serta memulihara kawasan yang telah hilang. – BERNAMA

Berita Harian X