Khamis, 13 Januari 2022 | 11:48am
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman. - Foto BERNAMA
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman. - Foto BERNAMA

Berkhidmat dengan ikhlas, berani lakukan pembaharuan - KPPA

KUALA LUMPUR: Semangat untuk berkhidmat dan menyumbang bakti secara ikhlas kepada rakyat perlu sentiasa disuburkan dalam kalangan penjawat awam supaya semangat itu terus diwarisi generasi muda.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, berkata pada masa sama, usaha perlu diteruskan untuk menambah baik perkhidmatan yang diberikan, selain berani untuk melakukan pembaharuan.

"Hari ini, generasi seusia dengan saya sudah semakin sedikit bilangannya, namun legasi dan semangat untuk berbakti perlu diteruskan oleh generasi penjawat awam pada masa kini.

"Semangat ini perlu sentiasa disuburkan kerana kita tidak mahu melihat generasi muda penjawat awam lebih mementingkan kemudahan yang mereka terima daripada sumbangan yang mereka berikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Khas Bersama KPPA di Putrajaya, hari ini.

Majlis itu diadakan bagi meraikan Mohd Khairul Adib yang akan bersara wajib pada 16 Januari ini selepas 34 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam.

Turut diadakan, pelancaran Dasar Pembangunan Sumber Manusia (DPSM) Perkhidmatan Awam, iaitu penambahbaikan kepada Dasar Latihan Sumber Manusia Sektor Awam (DLSA) yang diperkenalkan pada 2005.

Mohd Khairul Adib berkata, sebarang penambahbaikan yang dilakukan walaupun dilaksanakan dalam skop yang kecil, namun jika dilaksanakan ramai penjawat awam akan memberi kesan yang besar kepada penerima perkhidmatan.

"Saya percaya jika setiap penjawat awam dapat melaksanakan kerja dengan pantas dan cekap, bersikap profesional serta berintegriti, perkhidmatan awam akan menjadi berkesan seterusnya menyumbang kepada negara yang membangun, maju dan makmur," katanya.

Katanya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebagai agensi pusat bagi Pengurusan Sumber Manusia Perkhidmatan Awam perlu kekal relevan dengan berani menerajui dan menggerakkan pembaharuan.

"Jika kita masih ragu-ragu untuk bergerak ke hadapan dan tidak berani melakukan perubahan selaras perkembangan global yang begitu pesat dan dinamik, kita khuatir JPA tidak lagi menjadi relevan sebagai peneraju dalam perkhidmatan awam," katanya.

Berita Harian X