Rabu, 12 Januari 2022 | 10:35pm
MRA sumbang bantuan RM1.2 juta kepada 35,000 mangsa banjir. NSTP/Ihsan MRA
MRA sumbang bantuan RM1.2 juta kepada 35,000 mangsa banjir. NSTP/Ihsan MRA
Operasi dilaksanakan sejak banjir bermula hujung bulan lalu di 133 lokasi. NSTP/Ihsan MRA
Operasi dilaksanakan sejak banjir bermula hujung bulan lalu di 133 lokasi. NSTP/Ihsan MRA

MRA sumbang bantuan RM1.2 juta kepada 35,000 mangsa banjir

KUALA LUMPUR: Operasi bantuan banjir dilaksanakan Malaysian Relief Agency (MRA) menjangkau sehingga 35,000 mangsa banjir di sembilan negeri, setakat hari ini, dengan nilai bantuan mencecah RM1.2 juta.

Presiden MRA, Dr Mohd Daud Sulaiman, berkata operasi dilaksanakan sejak banjir bermula hujung bulan lalu di 133 lokasi di Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sabah.

Dalam tempoh itu, katanya, MRA menyalurkan pelbagai bentuk bantuan, antaranya makanan, sumbangan barangan bantuan banjir, barangan mencuci, perubatan, pakaian, perkhidmatan klinik bergerak dan mencuci rumah.

"MRA menggerakkan lebih 2,800 sukarelawan di seluruh negara untuk melaksanakan program yang memberi manfaat kepada 35,000 mangsa yang berdepan musibah banjir di seluruh negara.

"Program 'Cuci-cuci Celcom-MRA' yang digerakkan di seluruh negara sudah membersihkan lebih 170 rumah dan 15 bangunan komuniti yang ditenggelami air.

"Sebanyak 15 generator, 15 pam air dan 30 jet air beserta ratusan kit kelengkapan mencuci ditaja oleh Syarikat Celcom Axiata Sdn Bhd kepada MRA untuk memudahkan pelaksanaan program ini di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Mohd Daud berkata, MRA juga sudah menyumbang hampir 20,000 pek makanan kepada mangsa banjir, sama ada dalam bentuk makanan panas bermasak, pek 'sedia untuk dimakan' dan pek makanan bulanan mengikut kesesuaian.

Katanya, MRA turut melaksanakan program dapur komuniti ketika kemuncak banjir, yang membabitkan penyediaan 2,000 pek makanan bermasak setiap hari untuk diedarkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Selain itu, katanya, bantuan barangan bukan makanan seperti toto, bantal, kit kebersihan terdiri daripada kelengkapan diri, kit solat, tuala wanita dan lampin kanak-kanak dan dewasa turut diedarkan, selain menyerahkan perkakas elektrik dan dapur yang boleh digunakan untuk memasak.

"MRA, menerusi doktor dan kakitangan paramedik berpengalaman, menggerakkan 35 sesi klinik dan merawat 1,700 pesakit bagi mengatasi isu penyakit berjangkit, wabak dan penyakit bawaan air, selain ada pesakit masalah kronik yang kehilangan ubat-ubatan swaktu berpindah ke PPS," katanya.

Melihat situasi semasa yang menyaksikan hampir 3,600 mangsa masih ditempatkan di 48 PPS, Dr Mohd Daud memaklumkan MRA akan meneruskan bantuan banjir selama dua atau tiga bulan lagi.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai untuk membolehkan MRA meneruskan misi bantuan kepada ribuan mangsa banjir.

"MRA mengalu-alukan sumbangan daripada orang perseorangan, yayasan atau korporat melalui akaun CIMB Malaysian Relief Agency Foundation 8600059478, atau hubungi 03-91744672 untuk maklumat lanjut," katanya.

Berita Harian X