Rabu, 12 Januari 2022 | 7:04pm
Malaysia pada 1982 memperkenalkan Dasar Pandang ke Timur dengan objektif mencontohi budaya kerja Jepun serta kepakaran teknologinya bagi pembangunan negara.
Malaysia pada 1982 memperkenalkan Dasar Pandang ke Timur dengan objektif mencontohi budaya kerja Jepun serta kepakaran teknologinya bagi pembangunan negara.

Cadangan acara, projek sempena ulang tahun Dasar Pandang ke Timur

KUALA LUMPUR: Kedutaan Jepun di Malaysia bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, selaku Sekretariat Kebangsaan Dasar Pandang Ke Timur (LEP) mempelawa organisasi berkaitan mengemukakan cadangan bagi acara atau projek sempena ulang tahun ke-40 LEP.

Kedutaan Jepun dalam satu kenyataan, memaklumkan acara atau projek yang dicadangkan merangkumi pelbagai bidang, termasuk sains politik, ekonomi, sosial, pendidikan, sukan, sains, kebudayaan dan kesenian serta akademik dan pelancongan.

Organisasi berkaitan termasuk badan kerajaan, pihak berkuasa dan kerajaan tempatan, syarikat swasta, organisasi kebudayaan, institut penyelidikan, universiti, sekolah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Sebaik sahaja cadangan itu diluluskan, penganjur acara atau projek berhak menggunakan frasa "Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur" dan logo rasmi digunakan pada bahan promosi acara atau projek itu," menurut kenyataan itu.

Acara atau projek yang diluluskan boleh dilaksanakan di Malaysia atau Jepun, sepanjang 2022.

Maklumat lanjut proses permohonan dan penyerahan cadangan boleh didapati menerusi pautan https://www.my.emb-japan.go.jp/itpr_en/newinfo_11012022.html.

Malaysia pada 1982 ketika di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad yang semasa itu Perdana Menteri keempat, memperkenalkan LEP dengan objektif mencontohi budaya kerja Jepun serta kepakaran teknologinya bagi pembangunan negara. – BERNAMA

Berita Harian X