Rabu, 12 Januari 2022 | 5:12pm
Nor Farzira, 35, menerima suntikan vaksin dos penggalak di pusat membeli belah Paradigm Mall. - NSTP/Aziah Azmee
Nor Farzira, 35, menerima suntikan vaksin dos penggalak di pusat membeli belah Paradigm Mall. - NSTP/Aziah Azmee

Pemberian dos penggalak di PPV Paradigm Mall lancar

PETALING JAYA: Suasana sesak ketika pemberian dos penggalak di pusat pemberian vaksin (PPV) Paradigm Mall, di sini, kini semakin terkawal selepas pihak pengurusan menambah satu lagi dewan, Isnin lalu.

Ahli Farmasi di PPV Paradigm Mall, Nur Amira Hafiza Mohamed Tahir, berkata ini bagi membolehkan lebih ramai pengunjung menerima vaksinasi serentak.

Meskipun mengakui ramai menerima vaksin pada sebelah pagi, pertambahan satu lagi dewan membolehkan dua bilik vaksinasi baharu ditambah bagi melancarkan proses pemberian dos penggalak.

"Dengan dua dewan yang ada kini, urusan vaksinasi berjalan lebih lancar dan selaras pertambahan itu, kami juga meningkatkan pemberian vaksin daripada 1,000 dos kepada 2,000 dos setiap hari.

"Meskipun pemberian dos penggalak dibuat berdasarkan aplikasi MySejahtera, mereka yang berhasrat mendapatkan janji temu boleh hadir ke PPV Paradigm Mall untuk mengimbas kod QR.

"Janji temu akan diberi dalam tempoh dua jam hingga 24 jam," katanya kepada BH, di sini.

Sebelum ini, gambar dan video membabitkan barisan panjang penerima dos penggalak di PPV Paradigm Mall sejak ia dibuka 27 Disember tahun lalu, tular selepas dikongsi di sosial media.

Pekerja swasta, Tan Chi Seng, 35, berkata dia mengambil masa tidak sampai 30 minit bagi mendapatkan dos penggalak ketika hadir ke PPV berkenaan, hari ini.

"Saya harap mereka yang ingin mendapatkan suntikan penggalak dapat mengikut waktu janji temu disediakan melalui MySejahtera.

"Saya lihat sukarelawan juga keletihan. Jadi, kalau orang ramai dapat beri kerjasama, tentu urusan berjalan lancar," katanya.

Syed Fadzil Syed Nadzari, 36, menerima suntikan vaksin dos penggalak di pusat membeli belah Paradigm Mall. - NSTP/Aziah Azmee
Syed Fadzil Syed Nadzari, 36, menerima suntikan vaksin dos penggalak di pusat membeli belah Paradigm Mall. - NSTP/Aziah Azmee

Syed Fadzil Syed Nadzari, 36, turut memuji langkah PPV Paradigm Mall membuat penambahbaikan bagi memastikan keselesaan pengunjung di PPV itu sehingga 26 Mac ini.

"Setakat ini, hanya saya serta ibu dan bapa baru mendapat dos penggalak dan ahli keluarga lain masih sabar menunggu janji temu melalui aplikasi MySejahtera," katanya.

Sementara itu, penerima dos penggalak yang ingin dikenali sebagai Nor Farzirah, 35, berkata pembukaan dewan tambahan di PPV Paradigm Mall dapat mejimatkan masa penerima vaksin.

"Saya datang jam 1.20 tengah hari dan keadaan tidak sesak membolehkan urusan vaksinasi saya selesai dalam 10 minit," katanya.

Berita Harian X