Rabu, 12 Januari 2022 | 4:32pm
Rohaimi (kanan) pada sidang media pada majlis serah terima tugas di IPK Terengganu hari ini.- NSTP/GHAZALI KORI
Rohaimi (kanan) pada sidang media pada majlis serah terima tugas di IPK Terengganu hari ini.- NSTP/GHAZALI KORI

Doktor disyaki jual sijil vaksinasi dibebas esok

KUALA TERENGGANU: Doktor swasta di Marang yang dipercayai terbabit dalam kegiatan penjualan sijil vaksinasi dipercayai palsu akan dibebaskan dengan jaminan polis esok, sementara menunggu arahan pendakwaan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa, berkata tempoh tahanan reman lelaki berusia 51 tahun yang juga suspek utama kes berkenaan berakhir esok.

Beliau berkata, suspek akan diberi jaminan polis sementara menunggu arahan selanjutnya daripada pihak pendakwaan.

"Siasatan berjalan lancar dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Terengganu akan menguruskan siasatan selanjutnya dengan barang kes dirampas seperti komputer riba serta telefon bimbit akan dihantar kepada Bahagian Forensik JSJK Bukit Aman.

"Insya-Allah, barang kes itu akan dihantar ke sana esok," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, hari ini.

Terdahulu, Rohaimi menyaksikan majlis serah terima tugas Timbalan Ketua Polis (TKP) Terengganu antara mantan TKP, Senior Asisten Komisioner (SAC) Norhalid Kimi dan TKP baharu, SAC Wan Rukman Wan Hassan.

Sebelum ini, suspek ditahan pada Sabtu lalu direman tiga hari sehingga semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, polis memohon lanjutan reman terhadap suspek sebelum Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda membenarkan reman suspek ditambah dua hari lagi sehingga esok.

Media sebelum ini melaporkan polis Terengganu membongkar kegiatan penjualan sijil vaksinasi COVID-19 dipercayai palsu dengan merampas hampir 100 keping kad temu janji vaksinasi.

Berita Harian X