Rabu, 12 Januari 2022 | 2:15pm
Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Megat Zulkarnain Omardin menyerahkan sumbangan kepada kanak-kanak, Muhammad Haziq Shazmeer (dua kanan) dan Muhammad Fayyaz Etizaaz, disaksikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani (dua kiri) pada Program Pendidikan kerjasama Yayasan Bank Rakyat dan Pusat Autisme PDRM di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Aziah Azmee
Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Megat Zulkarnain Omardin menyerahkan sumbangan kepada kanak-kanak, Muhammad Haziq Shazmeer (dua kanan) dan Muhammad Fayyaz Etizaaz, disaksikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani (dua kiri) pada Program Pendidikan kerjasama Yayasan Bank Rakyat dan Pusat Autisme PDRM di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Aziah Azmee

PDRM rancang naik taraf pusat autisme

KUALA LUMPUR: Bukit Aman dalam perancangan menaik taraf pusat autisme Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini secara berperingkat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani, berkata projek pembangunan itu bergantung kepada kemudahan dan keupayaan kewangan.

"Pada masa ini, pusat ini mempunyai 23 pelajar autisme, dengan ramai ibu bapa masih menunggu untuk mendaftarkan anak mereka di sini.

"Kita menghargai sumbangan diberikan pelbagai pihak dan berharap dapat membantu meringankan beban kewangan dan pentadbiran pengurusan pusat ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika menghadiri Program Pendidikan dan Kemahiran Awal Murid Autisme di PULAPOL, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Acryl berkata pusat autisme memerlukan dana besar untuk membolehkan operasi dijalankan secara optimum.

Beliau berkata sejak pusat itu beroperasi tahun lalu, ia menjadi matlamat pihaknya untuk menambah baik dan membangunkan lagi bagi menampung lebih ramai pelajar dan tenaga pengajar.

Pada majlis itu, Yayasan Bank Rakyat menyampaikan sumbangan RM100,000 untuk program Pendidikan Awal dan Kemahiran Pelajar Autisme.

Acryl berkata sumbangan itu dapat membantu dalam meringankan beban kewangan dan pentadbiran dihadapi pengurusan.

Sementara itu, Megat Zulkarnain berkata, pihaknya komited membantu masyarakat dalam meningkatkan tahap sosioekonomi melalui pendidikan.

"Kita berharap dengan bantuan ini, ia dapat memberi semangat dan sedikit kegembiraan buat kanak-kanak autisme dalam menjalani kehidupan seharian serta belajar sesuatu yang baharu.

"Pelaksanaan program ini dapat membantu meningkatkan kesedaran orang ramai serta memberi fokus intervensi terhadap peluang golongan autisme untuk mendapat pendidikan seperti kanak-kanak normal," katanya.

Berita Harian X