Selasa, 11 Januari 2022 | 8:46pm
 - Foto hiasan
- Foto hiasan

KKM kesan 99 kes VOC sejak 3 Januari

PUTRAJAYA: Analisis terhadap kes positif COVID-19 antara 3 Januari hingga semalam mengesan 99 kes baharu varian membimbangkan (VOC).

Daripada jumlah itu, 91 adalah varian Delta dan lapan lagi varian Omicron.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata makmal Universiti Kebangsaan Malaysia Medical Molecular Biology Institute (UMBI) mengenal pasti 48 kes baharu VOC membabitkan 44 kes varian Delta (B.1.617.2) dan empat kes varian Omicron (B.1.1.529).

Katanya, Institut Genom Malaysia (MGI) mengenal pasti 47 kes baharu VOC varian Delta.

Dr Noor Hisham berkata, Institut Kemahiran dan Perubatan Komuniti Universiti Malaysia Sarawak (IHCM-UNIMAS) mengenal pasti tiga kes baharu VOC varian Omicron, manakala Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) mengenal pasti satu kes baharu VOC varian Omicron.

"Lapan kes baharu varian Omicron yang dilaporkan membabitkan enam kes jangkitan import dengan lima kes jemaah umrah dari Arab Saudi dan satu kes pengembara dari Turki serta dua kes jangkitan tempatan.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti virus SARS-CoV-2 dikategorikan sebagai VOC dan varian mendapat perhatian (VOI) adalah 5,760 kes.

"Daripada jumlah itu, 5,740 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kes VOC secara keseluruhannya setakat ini membabitkan 5,240 kes varian Delta, 253 kes varian Omicron, 233 kes varian Beta dan 14 kes varian Alpha.

Katanya, kes VOI membabitkan 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa dan tiga kes varian Eta.

Penemuan 99 kes varian VOC terkini didapati membabitkan 20 kes varian Delta dikesan di Johor, Sabah (18), Selangor (17), Negeri Sembilan (16), Kuala Lumpur (sembilan), Melaka (lapan), Labuan (dua) dan satu di Putrajaya.

Bagi varian Omicron, empat kes ditemui di Melaka, tiga di Sarawak dan satu di Kelantan.

Data juga menunjukkan empat kes Omicron di Melaka membabitkan empat jemaah umrah yang kembali pada 13 dan 14 Disember lalu, dengan seorang daripadanya bergejala.

Satu kes Omicron di Kelantan turut membabitkan jemaah umrah yang kembali pada 19 Disember lalu tanpa gejala.

Dua daripada tiga kes varian Omicron di Sarawak membabitkan penularan tempatan manakala satu lagi mempunyai sejarah perjalanan ke Turki dan kembali pada 3 Januari lalu, dengan semuanya bergejala.

Berita Harian X