Selasa, 11 Januari 2022 | 7:57pm
- Foto hiasan / Fail NSTP
- Foto hiasan / Fail NSTP

KKM kesan 16 kluster babitkan jemaah umrah

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 16 kluster jangkitan COVID-19 membabitkan jemaah umrah yang pulang dari Arab Saudi antara 25 November hingga hari ini.

Ia termasuk tujuh kluster dengan kes indeks disahkan varian Omicron.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata enam lagi kluster membabitkan kes indeks diandaikan Omicron yang sedang menunggu keputusan penjujukan genom keseluruhan (WGS) dan tiga kluster membabitkan kes indeks positif COVID-19 bukan varian Omicron.

Beliau berkata, daripada jumlah kluster itu, empat kluster membabitkan kes dari Pahang, masing-masing tiga kluster dari Kelantan dan Kedah, dua kluster dari Johor serta masing-masing satu kluster dari Sabah dan Labuan.

Katanya, satu kluster membabitkan kes dari Pahang dan Johor manakala satu kluster lagi dari Kedah, Selangor dan Pulau Pinang.

"Kluster Keratong 5 Saudi di Rompin, Pahang mempunyai jumlah kes paling tinggi iaitu 36 kes. Kes indeks disahkan varian Omicron dengan dua kes jangkitan import dan 34 kes kontak keluarga.

"Kes dalam kluster itu adalah ahli keluarga dari Pahang dan Johor dengan kadar positiviti 81.8 peratus.

"Selain itu, ada dua lagi kluster membabitkan jemaah umrah dalam daerah sama iaitu Kluster Rumah Kedai Keratong 5 Saudi dan Kluster Keratong 2 Saudi," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Rumah Kedai Keratong 5 Saudi membabitkan sembilan kes satu kes indeks diandaikan Omicron, iaitu kes import dan lapan kes kontak keluarga.

Katanya, Kluster Keratong 2 Saudi membabitkan 11 kes iaitu dua kes import dan sembilan kes kontak keluarga dengan kadar positiviti kluster 78.6 peratus.

"Bagaimanapun, kes indeks Kluster Keratong 2 Saudi bukan kes varian Omicron," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Felda Keratong 5, Rompin bermula 6 Januari hingga 19 Januari.

Di Kelantan, katanya, Kluster Chiku 01 Saudi membabitkan 19 kes iaitu tiga kes indeks disahkan varian Omicron dengan enam kes jangkitan import manakala 13 kes kontak keluarga.

"Kluster Kampung Tok Panjang Saudi pula membabitkan 13 kes jangkitan import dan tiga kes kontak keluarga.

"Kluster Jalan 2 Saudi membabitkan enam kes iaitu satu kes jangkitan import dan lima kes kontak keluarga dengan kes indeks bukan varian Omicron," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Jalan OKK Awang Besar Saudi dari Labuan membabitkan 19 mangsa dengan 11 kes jangkitan import dan lapan kes kontak keluarga.

Di Sabah, katanya, Kluster Millenium Saudi membabitkan 18 kes iaitu 13 kes jangkitan import dan lima kes kontak keluarga.

Beliau berkata, seramai 456 individu disaring dalam kluster jemaah umrah dengan 219 kes positif dikenal pasti, menjadikan kadar positiviti sebanyak 48 peratus.

"Semua kes membabitkan kategori 1 dan 2. Sehingga kini, tiada kes menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kematian dilaporkan daripada kluster jemaah umrah ini.

"Peningkatan kes kluster jemaah umrah dianggap serius dan membimbangkan kerana berlaku dalam tempoh singkat serta penularan daripada kes jangkitan import kepada keluarga berlaku dengan cepat," katanya.

Berita Harian X