Selasa, 11 Januari 2022 | 7:20pm
Dr Azman (dua, kanan) menyerahkan peralatan kepada pengusaha tanaman nanas, Mohd Zulfayri Mohd Zulkifli (kiri) pada majlis penyampaian Insentif Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Prihatin Pengusaha Nanas di LPNM Terengganu. - Foto BERNAMA
Dr Azman (dua, kanan) menyerahkan peralatan kepada pengusaha tanaman nanas, Mohd Zulfayri Mohd Zulkifli (kiri) pada majlis penyampaian Insentif Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Prihatin Pengusaha Nanas di LPNM Terengganu. - Foto BERNAMA

Pengusaha nanas program LPNM keluar daripada B40

SETIU: Kajian Lembaga Pembangunan Nanas Malaysia (LPNM) mendapati 90 peratus pengusaha nanas hasil program LPNM, berjaya memperoleh purata pendapatan RM5,000 sebulan, sekali gus mengeluarkan mereka daripada kategori kumpulan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Ketua Pengarah LPNM, Mohd Khairuzamri M Salleh, berkata data itu diperoleh daripada hasil kajian impak membabitkan 1,500 pengusaha nanas di seluruh negara.

"Setiap tahun, LPNM membangunkan 1,000 pengusaha nanas dan sepanjang tempoh lima tahun Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), kita berjaya membangunkan 5,000 pengusaha tanaman itu.

"Sasaran untuk RMK12 pula ialah meningkatkan purata pendapatan pengusaha nanas daripada RM5,000 kepada RM8,000, meletakkan mereka dalam kumpulan M40," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian program penyampaian insentif Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Prihatin Pengusaha Nanas, yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Makanan Perladangan Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr Azman Ibrahim di sini, hari ini.

PRE Prihatin Pengusaha Nanas adalah peruntukan tambahan kepada LPNM melalui Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan (MAFI).

Ia disalurkan pada pertengahan 2020 bagi merangsang ekonomi sektor industri nanas disebabkan pandemik COVID-19.

Sebanyak RM13 juta telah disalurkan, memanfaatkan 5,000 orang yang terbabit dalam rantaian industri nanas, merangkumi pekebun, pengangkut dan penjual, pengeksport, usahawan pemasar serta usahawan industri asas tani.

Sementara itu, Dr Azman berkata, sejumlah RM328,555 peruntukan PRE Prihatin disalurkan sehingga kini, membabitkan insentif bantuan dan peralatan seperti set mesin pam semburan serta insentif lori pengangkut.

"Bagi pembangunan tanaman nanas, Terengganu menerima peruntukan sebanyak RM1.5 juta di bawah skop Projek Pengukuhan Tanaman Nanas Bernilai Tinggi serta lain-lain peruntukan membabitkan ladang kontrak serta industri kecil dan sederhana," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X