Selasa, 11 Januari 2022 | 7:00pm
Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada sidang media khas sempena Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 di Wisma Pertahanan. - Foto NSTP/Fathil Asri
Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada sidang media khas sempena Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 di Wisma Pertahanan. - Foto NSTP/Fathil Asri

Tiada lagi PKP tapi kawalan lebih ketat di sempadan

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak akan dilaksanakan lagi walaupun negara masih berdepan situasi penularan COVID-19 termasuk varian Omicron.

Namun kerajaan tidak menolak kemungkinan menyekat pergerakan keluar dan masuk ke Malaysia daripada pelbagai negara yang dianggap berisiko.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata ketetapan itu mungkin dilakukan sekiranya ada negara didapati berisiko tinggi.

"Perkara ini kita mengambil kira daripada pembentangan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang menyatakan bahawa sebanyak 245 kes Omicron telah disahkan di Malaysia dan sebahagian besar kes jangkitan itu masih lagi berpunca daripada kepulangan pengembara dari luar negara.

"Penting untuk saya tegaskan, pendekatan melaksanakan PKP secara besar-besaran seperti sebelum ini tidak akan dilaksanakan semula. Ini ke arah usaha kita bersiap-sedia untuk masuk ke fasa transisi endemik yang sepatutnya diumumkan awal tahun ini," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat ke-11, Menteri Kuartet COVID-19, hari ini.

Hishammuddin berkata, perancangan untuk mengumumkan peralihan fasa endemik terpaksa ditangguhkan kerana pemantauan terhadap Omicron dan pada masa sama situasi daripada kesan bencana banjir baru-baru ini selain kluster pengembara yang pulang dari luar negara.

Terdahulu, Hishamuddin mengadakan Mesyuarat Menteri Kuartet COVID-19 bersama Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Khairy; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan; Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Nor Hisham Abdullah.

Mengulas laporan mengenai varian baharu deltacron, Hishammuddin berkata, masih terlalu awal untuk membuat rumusan mengenai penemuan varian berkenaan.

Buat masa ini, katanya, varian Omicron dilihat tidak memberi kesan begitu serius kepada kesihatan individu tetapi menular dengan dahsyat.

"Kita lihat jangkitan hingga 100,000 di negara-negara Eropah dan 500,000 di Amerika Syarikat dan kita banyak bersandarkan daripada laporan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai kesan kepada sistem kesihatan kita, asalkan tidak membawa tekanan kepada hospital dan unit rawatan rapi (ICU), saya rasa tak membimbangkan.

"Namun, kita banyak bergantung kepada apa yang dinasihatkan dan apa yang dipantau KKM," katanya.

Berita Harian X