Selasa, 11 Januari 2022 | 4:29pm
Ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff. - NSTP/ARKIB
Ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff. - NSTP/ARKIB

Isu Azam Baki: Ahli LPPR tiada konflik dengan Abu Zahar

KUALA LUMPUR: Ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff menjelaskan beliau dan lima ahli lembaga berkenaan tidak mempunyai sebarang konflik dengan Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Sebaliknya, apa yang berlaku hanyalah perbezaan pendapat dengan Pengerusi LPPR itu dalam isu berkaitan dakwaan pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Katanya, semua ahli LPPR juga akan menyelesaikan perbezaan pendapat itu dengan cara yang paling baik demi kebaikan institusi SPRM dan negara.

"Kita akan adakan mesyuarat LPPR pada hujung bulan ini, di situlah kemudiannya akan dirungkaikan sebarang perbezaan pendapat. Tak ada konflik pun, cuma perbezaan pendapat di antara kami dari segi memahani konteks-konteks tertentu, itu sahaja," katanya kepada BH, hari ini.

Abu Zahar dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM pagi ini, mendakwa enam ahli yang 'menjauhkan diri' daripada kenyataan media dibuat beliau pada Rabu lalu berhubung dakwaan pemilikan saham dan kepentingan dalam syarikat oleh Azam, mengadakan mesyuarat dalam kalangan mereka tanpa memaklumkannya.

Beliau yang dukacita dengan kenyataan media Sabtu lalu oleh Tan Sri Ismail Omar, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Seri Akhbar Satar, Datuk Dr Hamzah Kassim, Datuk David Chua Kok Tee dan Mohammad Agus, berkata semua enam individu itu sepatutnya mengadakan perjumpaan tertutup dengannya hari ini, namun secara tiba-tiba telah membuat kenyataan media.

Beliau juga percaya tindakan mereka menjauhkan diri daripada kenyataan media dibuatnya berkaitan isu Ketua Pesuruhjaya SPRM itu dilakukan atas dasar reaksi 'tidak popular' segolongan masyarakat yang didakwanya tercetus berikutan laporan tidak tepat dan menyeluruh oleh media.

Berkenaan kenyatan Abu Zahar terhadap ahli LPPR, Mohammad Agus, berkata mereka berenam sepakat untuk tidak membuat ulasan buat masa ini kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan.

"Betul kami ada terima beberapa panggilan (wartawan), tetapi untuk tidak mengeruhkan keadaan, kami sepakat untuk tidak membuat sebarang kenyataan tambahan. Sehingga ke satu tarikh di mana kami berpendapat, kami setuju untuk masing-masing lepaskan kesepakatan itu," katanya.

Sabtu lalu, enam ahli LPPR berkenaan dalam satu kenyataan, menegaskan kenyataan Abu Zahar berhubung dakwaan pemilikan saham dan kepentingan dalam syarikat oleh Azam, adalah pendapat peribadi pengerusi lembaga penasihat itu dan mereka tidak pernah menyuarakan pendirian sama.

Menurut enam ahli LPPR itu, sebelum sidang media Rabu lalu, ahli-ahli lembaga penasihat berkenaan mengadakan perbincangan berasingan dengan Abu Zahar dan mencadangkan agar isu itu dirujuk kepada jawatankuasa bebas, Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah dan juga panel atau Jawatankuasa Aduan SPRM.

Bagaimanapun, dakwa mereka, pandangan dan cadangan berkenaan tidak dibangkitkan oleh Abu Zahar pada sidang media terbabit.

Azam dilanda kontroversi berhubung dakwaan pemilikan saham di dua syarikat pada 2015. Berdasarkan laporan tahunan Excel Force Bhd 2015, beliau memiliki 2,156,000 waran dalam syarikat itu setakat 21 Mac 2016 ketika menjadi Pengarah Bahagian Siasatan SPRM.

Ia mengundang gesaan agar siasatan dilakukan berhubung hal itu dan Azam direhatkan daripada jawatan tertinggi agensi pencegahan rasuah negara. Bagaimanapun, Azam pada satu sidang media Rabu lalu, menafikan sekeras-kerasnya tuduhan beliau mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat termasuk syarikat konglomerat seperti didakwa dan tular akhir-akhir ini.

Beliau memberi alasan akaun saham itu digunakan oleh adiknya, Datuk Nasir Baki dalam urus niaga dan beliau tidak mempunyai kepentingan atau manfaat terhadap saham yang dibeli.

Abu Zahar yang turut hadir pada sidang media itu dipetik berkata, pihaknya berpuas hati dengan penjelasan Ketua Pesuruhajaya SPRM itu bahawa beliau tiada kepentingan kewangan mahupun konflik kepentingan dalam pemerolehan saham berkenaan.

Berita Harian X