Selasa, 11 Januari 2022 | 1:17pm
Laporan BH Online semalam mengenai pembongkaran kegiatan menjual sijil vaksinasi COVID-19 palsu.
Laporan BH Online semalam mengenai pembongkaran kegiatan menjual sijil vaksinasi COVID-19 palsu.

Jual sijil vaksinasi palsu musnah integriti profesion perubatan - MMA

KUALA LUMPUR: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kumpulan yang memalsukan sijil vaksinasi COVID-19.

Presidennya, Dr Koh Kah Chai yang melahirkan rasa kecewa dengan tindakan kumpulan menjual sijil vaksinasi itu secara dalam talian, mendesak agar pihak terbabit dibawa ke muka pengadilan

"Kami mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan. Kami juga menggesa orang ramai membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti rasuah dalam sektor kesihatan," katanya.

Dr Koh berkata, MMA tidak membenarkan aktiviti sedemikian yang memusnahkan integriti profesion perubatan, lebih-lebih lagi jika menyebabkan kemudaratan kepada kesihatan awam.

Justeru, beliau meminta orang ramai menyalurkan sebarang maklumat atau aduan jika mengesan perbuatan seperti itu kepada MMA menerusi laman secretary@mma.org.my.

Semalam, Polis Terengganu membongkar kegiatan penjualan sijil vaksinasi COVID-19 dipercayai palsu selepas menahan seorang doktor sebuah klinik swasta dalam satu serbuan di Marang pada Sabtu lalu dan merampas pelbagai dokumen berkaitan, 100 kad janji temu vaksinasi, komputer riba serta telefon.

Susulan penahanan doktor lelaki berusia 51 tahun itu, polis dan Jabatan Kesihatan Terengganu sedang menyiasat sama ada kira-kira 1,900 individu yang berurusan untuk divaksin dengan klinik berkenaan diberi sijil vaksinasi tulen atau sebaliknya.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa, dilaporkan berkata, serbuan jam 7 malam itu hasil aduan awam mengenai kegiatan penipuan disyaki membabitkan pengeluaran sijil vaksin kepada golongan yang tidak mahu disuntik vaksin atau antivaksin.

Difahamkan, setiap individu yang ingin mendapatkan sijil vaksinasi palsu perlu membayar antara RM400 hingga RM600 berbanding harga sebenar suntikan RM300 sahaja. Doktor terbabit disyaki melakukan urusan penjualan secara dalam talian sejak September lalu.

Individu dari luar Terengganu juga dipercayai turut menggunakan khidmat doktor berkenaan bagi mendapatkan sijil vaksinasi palsu dan suspek juga dipercayai menggunakan ejen yang diberi komisen RM50 untuk mempromosikan khidmatnya.

Suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X