Selasa, 11 Januari 2022 | 12:31pm
(Dari kiri, atas) Tan Sri Abu Zahar Ujang, Tan Sri Ismail Omar, Datuk Seri Azman Ujang dan Datuk Seri Akhbar Satar. (Dari kiri, bawah) Datuk Dr Hamzah Kassim, Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff dan Datuk David Chua Kok Tee. - Foto NSTP
(Dari kiri, atas) Tan Sri Abu Zahar Ujang, Tan Sri Ismail Omar, Datuk Seri Azman Ujang dan Datuk Seri Akhbar Satar. (Dari kiri, bawah) Datuk Dr Hamzah Kassim, Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff dan Datuk David Chua Kok Tee. - Foto NSTP

Isu Azam Baki: Abu Zahar dukacita tindakan 6 ahli LPPR

PUTRAJAYA: Tan Sri Abu Zahar Ujang mendakwa, enam ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) yang 'menjauhkan diri' daripada kenyataan media dibuat beliau pada Rabu lalu berhubung dakwaan pemilikan saham dan kepentingan dalam syarikat oleh Tan Sri Azam Baki, mengadakan mesyuarat dalam kalangan mereka tanpa memaklumkannya.

Pengerusi LPPR itu yang dukacita dengan kenyataan media Sabtu lalu oleh Tan Sri Ismail Omar, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Seri Akhbar Satar, Datuk Dr Hamzah Kassim, Datuk David Chua Kok Tee dan Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, berkata selepas sidang medianya Rabu lalu, semua enam individu itu sepatutnya mengadakan perjumpaan tertutup dengannya hari ini.

Beliau juga percaya, tindakan mereka menjauhkan diri daripada kenyataan media dibuatnya berkaitan isu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu dilakukan atas dasar reaksi 'tidak popular' segolongan masyarakat yang didakwanya tercetus berikutan laporan tidak tepat dan menyeluruh oleh media.

"Selepas mengadakan sidang media (Rabu lalu), saya menerima mesej teks daripada tiga ahli LPPR dan atas permintaan mereka, saya menyatakan persetujuan untuk mengadakan perjumpaan tertutup pada hari ini di Pejabat Akademi SPRM di Jalan Duta, Kuala Lumpur.

"Tiba-tiba pada 8 Januari 2022, saya dapati kesemua enam ahli LPPR tersebut telah mengadakan mesyuarat di antara mereka terlebih dahulu tanpa memberitahu saya dan mereka telah mengeluarkan kenyataan media," katanya yang membacakan kenyataan pada sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM, hari ini.

Kesemua ahli LPPR dan Azam tidak menghadiri sidang akhbar Abu Zahar, hari ini.

Sabtu lalu, enam ahli LPPR berkenaan dalam satu kenyataan, menegaskan kenyataan Abu Zahar berhubung dakwaan pemilikan saham dan kepentingan dalam syarikat oleh Azam adalah pendapat peribadi pengerusi lembaga penasihat itu dan mereka tidak pernah menyuarakan pendirian sama.

Menurut enam ahli LPPR itu, sebelum sidang media Rabu lalu, ahli-ahli lembaga penasihat berkenaan mengadakan perbincangan berasingan dengan Abu Zahar dan mencadangkan agar isu itu dirujuk kepada jawatankuasa bebas, Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah dan juga panel atau Jawatankuasa Aduan SPRM.

Bagaimanapun, dakwa mereka, pandangan dan cadangan berkenaan tidak dibangkitkan oleh Abu Zahar pada sidang media terbabit.

Azam dilanda kontroversi berhubung dakwaan pemilikan saham di dua syarikat pada 2015. Berdasarkan laporan tahunan Excel Force Bhd 2015, beliau memiliki 2,156,000 waran dalam syarikat itu setakat 21 Mac 2016 ketika menjadi Pengarah Bahagian Siasatan SPRM.

Ia mengundang gesaan agar siasatan dilakukan berhubung hal itu dan Azam direhatkan daripada jawatan ketua tertinggi agensi pencegahan rasuah negara. Bagaimanapun, Azam pada satu sidang media Rabu lalu, menafikan sekeras-kerasnya tuduhan beliau mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat termasuk syarikat konglomerat seperti didakwa dan tular akhir-akhir ini.

Beliau memberi alasan akaun saham itu digunakan oleh adiknya, Datuk Nasir Baki dalam urus niaga dan beliau tidak mempunyai kepentingan atau manfaat terhadap saham yang dibeli.

Abu Zahar yang turut hadir pada sidang media itu dipetik berkata, pihaknya berpuas hati dengan penjelasan Ketua Pesuruhajaya SPRM itu bahawa beliau tiada kepentingan kewangan mahupun konflik kepentingan dalam pemerolehan saham berkenaan.

Bagaimanapun, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) kelmarin menegaskan alasan Azam itu bertentangan dengan peraturan kerana Seksyen 25 Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) memperuntukkan semua akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mesti menggunakan nama pemilik manfaat sekuriti deposit atau penama yang dibenarkan.

Selain itu, Seksyen 29A SICDA menetapkan bahawa semua urus niaga sekuriti hanya boleh dilakukan oleh pemilik manfaat sekuriti atau penama yang dibenarkan. Sehubungan itu, SC meminta semua pihak terbabit, khususnya Azam untuk memberi penjelasan serta mengesahkan kenyataan yang dibuat, selain mengumpul bukti berkaitan.

Berita Harian X