Isnin, 10 Januari 2022 | 5:33pm
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun. - Foto BERNAMA
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun. - Foto BERNAMA

Penerima bantuan kebajikan dijangka meningkat

PUTRAJAYA: Penerima bantuan kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tahun ini dijangka mencecah 550,000 orang.

Ia berbeza daripada 517,414 penerima bantuan tahun lalu dengan mengguna pakai Paras Garis Kemiskinan (PGK) Makanan 2019 sebagai kelayakan permohonan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata jangkaan pertambahan penerima itu selari dengan keputusan kerajaan menaikkan kelayakan permohonan bantuan kebajikan dengan menggunakan PGK Makanan 2019 iaitu RM1,169 berbanding RM980 sebelum ini.

Beliau berkata, kira-kira 71 peratus atau RM1.772 bilion daripada RM2.5 bilion perbelanjaan mengurus untuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) tahun ini akan disalurkan kepada bantuan kebajikan di bawah JKM bagi membantu golongan memerlukan untuk kelangsungan hidup.

"Kementerian menjangka menerima banyak permohonan daripada mereka yang terkesan. Untuk itu, saya minta pemprosesan dipercepat menggunakan teknologi yang memudahkan penerima," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KPWKM di sini, hari ini.

Sementara itu, Rina berkata, hasil tinjauan terhadap mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) mencadangkan penyampaian bantuan makanan yang sudah siap dibungkus menggunakan teknologi 'retort'.

Tinjauannya mendapati, PPS cukup dengan makanan dan barangan keperluan asas, namun berlaku pembaziran dari segi makanan siap masak yang dibungkus kerana mudah rosak atau basi.

"Sudah tiba masanya kita memperluaskan penggunaan makanan dengan bungkusan teknologi retort atau penstrilan, ia menjadikan makanan tahan lebih lama, segar dan mudah disediakan," katanya.

Bagi 2022, Rina berkata, kementerian akan terus memfokuskan kepada usaha memperkukuhkan mutu perkhidmatan, memastikan keberkesanan program yang dirancang dan memperkasa golongan wanita secara lebih komprehensif.

Beliau berkata, enam agensi kementerian iaitu JKM, Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Institut Sosial Malaysia (ISM) dan Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM) akan digembleng bersama untuk memastikan fokus tahun ini dapat dicapai.

"Untuk tahun ini, kita tak nak bergerak dalam silo. Sebagai contoh, apabila berlaku banjir dulu kita hanya nampak JKM, tapi sekarang saya nak gerakkan semua (agensi) membantu mangsa banjir," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X