Isnin, 10 Januari 2022 | 5:00pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan) mempengerusikan mesyuarat Pertama Pasukan Petugas Kebangsaan Bagi KonservasiHarimau Malaya (MyTTF) di Putrajaya. - Foto IHSAN PEJABAT PERDANA MENTERI
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan) mempengerusikan mesyuarat Pertama Pasukan Petugas Kebangsaan Bagi KonservasiHarimau Malaya (MyTTF) di Putrajaya. - Foto IHSAN PEJABAT PERDANA MENTERI

Kerajaan tangani isu kepupusan Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan iltizam kerajaan menangani isu populasi Harimau Malaya atau Panthera tigris jacksoni di hutan negara yang kini dilapor berjumlah kurang daripada 150 ekor.

Perdana Menteri berkata, Malaysia berhadapan risiko kepupusan Harimau Malaya yang menjadi simbol Jata Negara, lambang negeri serta pelbagai kementerian, jabatan dan agensi jika tindakan segera tidak diambil.

"Antara faktor kepupusan ialah disebabkan kehilangan habitat dan sumber makanan akibat perubahan guna tanah, pemburuan serta perdagangan haram, selain penularan virus canine distemper.

"Lebih membimbangkan, spesies ikonik negara itu akan hilang buat selama-lamanya," katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama Pasukan Petugas Kebangsaan Bagi Konservasi Harimau Malaya (MyTTF) di Putrajaya, hari ini.

Mesyuarat turut dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta Ahli-Ahli Majlis Kerajaan Negeri mewakili Menteri Besar Kelantan, Terengganu, Johor, Kedah dan Perak.

Di peringkat Persekutuan, ia dihadiri Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta wakil kementerian, jabatan dan agensi berkaitan.

Ismail Sabri berkata, kawasan hutan sedia ada di Semenanjung akan ditingkatkan daripada 43.41 peratus kepada 50 peratus menjelang 2040, selaras Rancangan Fizikal Negara Keempat bagi menangani krisis populasi Harimau Malaya.

Katanya, ia adalah satu daripada enam pendekatan Tindakan Strategik Bagi Konservasi Harimau Malaya (2021 hingga 2030) yang dipersetujui mesyuarat pertama MyTTF hari ini.

Perdana Menteri berkata, turut dipersetujui ialah rondaan penguatkuasaan dan pengawalan membabitkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta komuniti Orang Asli.

Beliau berkata, pendekatan seterusnya ialah pengekalan dan pengukuhan habitat melalui pengurusan guna tanah yang mampan, di samping menghentikan kegiatan pencerobohan serta aktiviti pemburuan haram.

Katanya, mesyuarat juga bersetuju untuk memperkasa urus tadbir berkesan melalui penubuhan Unit Konservasi Harimau Malaya di bawah PERHILITAN, Biro Jenayah Hidupan Liar di bawah PDRM dan pengukuhan Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan sebagai pusat kecemerlangan konservasi ex-situ Harimau Malaya.

"Turut dipersetujui ialah memperkasakan instrumen kewangan inovatif sebagai tambahan kepada insentif kewangan Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) bagi Pemuliharaan Biodiversiti sedia ada dan pelaksanaan skim akreditasi habitat Harimau Malaya.

"Pendekatan terakhir ialah Kempen Selamatkan Harimau Malaya bagi meningkatkan kesedaran dan pembabitan rakan strategik," katanya.

Perdana Menteri, MyTTF ialah signifikan kesepakatan dan komitmen tinggi Kerajaan Persekutuan dan negeri dalam menangani krisis populasi Harimau Malaya.

Katanya, MyTTF turut menjadi platform rundingan bagi dasar, perundangan dan strategi negara untuk konservasi Harimau Malaya dan habitatnya.

Sejajar usaha meningkatkan keberkesanan perundangan konservasi hidupan liar termasuk Harimau Malaya, Ismail Sabri berkata, kerajaan meminda Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan diluluskan oleh Parlimen pada 21 Disember 2021.

Menerusi pindaan itu, katanya, denda maksimum ditingkatkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta manakala hukuman penjara maksimum daripada 10 tahun kepada 15 tahun bagi mencegah dan memberi pengajaran sewajarnya kepada pelaku jenayah hidupan liar.

"Selain itu, peruntukan baharu diwujudkan bagi membolehkan tindakan diambil terhadap individu yang mengiklankan penjualan hidupan liar secara dalam talian," katanya.

Berita Harian X