Isnin, 10 Januari 2022 | 1:16pm

Kegiatan jual sijil vaksinasi COVID-19 dipercayai palsu terbongkar

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu membongkar kegiatan penjualan sijil vaksinasi COVID-19 dipercayai palsu, apabila merampas hampir 100 kad peringatan imunisasi (janji temu) serta menahan seorang doktor sebuah klinik swasta di Marang, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, doktor lelaki berusia 51 tahun itu ditahan dalam operasi dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JKJK).

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa, berkata serbuan dilakukan hasil maklumat diterima mengenai kegiatan penipuan disyaki membabitkan pengeluaran sijil vaksin kepada golongan yang tidak mahu disuntik vaksin atau antivaksin.

Beliau berkata, suspek disyaki melakukan urusan penjualan itu secara dalam talian sejak September lalu, dengan setiap sijil dikata dikenakan bayaran antara RM400 hingga RM600.

"Setakat ini, ada kira-kira 1,900 individu dipercayai mendapatkan sijil itu dan kita sedang menyiasat sama ada kesemuanya tulen atau sebaliknya.

"Dalam serbuan itu, polis turut merampas dokumen berkaitan, kad janji temu vaksinasi, komputer riba, telefon dan lain-lain.

"Siasatan akan dijalankan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menilai dan membuat pemeriksaan terhadap aplikasi MySejahtera individu terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Jabatan Kesihatan Terengganu (JKNT) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini, hari ini. Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong, turut hadir.

Mengulas lanjut, Rohaimi berkata, hasil siasatan mendapati suspek memperoleh kebenaran pada September tahun lalu untuk memberi suntikan vaksin COVID-19.

Beliau berkata, suspek disyaki menghebahkan kegiatan itu melalui kenalan dipercayainya, dengan hasil siasatan awal mendapati ada dokumen turut membabitkan pelanggan dari Kedah dan Kuala Lumpur.

"Kita melihat ada dokumen membabitkan pelanggan dari luar Terengganu, namun tidak logik mereka datang ke negeri ini untuk mendapatkan suntikan vaksin di sebuah klinik di Marang, dan itu antara faktor disiasat KKM.

"Suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Rohaimi berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan kerana ia bukan saja disyaki membabitkan penipuan tetapi juga berkait bencana atau musibah kesihatan kepada masyarakat umum

Beliau sekali gus memberi amaran, polis akan meneruskan operasi bersama KKM untuk mengesan sebarang kegiatan seumpama itu di lokasi lain.

Rohaimi (dua dari kanan) bersama Dr Kasemani (tiga dari kanan) menunjukkan hasil rampasan berkait kegiatan penjualan sijil vaksinasi COVID-19 dipercayai palsu. - NSTP/GHAZALI KORI
Rohaimi (dua dari kanan) bersama Dr Kasemani (tiga dari kanan) menunjukkan hasil rampasan berkait kegiatan penjualan sijil vaksinasi COVID-19 dipercayai palsu. - NSTP/GHAZALI KORI
Berita Harian X