Isnin, 10 Januari 2022 | 11:36am

71 pelajar masih di PPS, tangguh ke sekolah

MELAKA: Seramai 71 pelajar terpaksa menangguhkan persekolahan yang bersambung semula hari ini kerana masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Teknologi Melaka, Datuk Rais Yasin, berkata mereka akan menjalani proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PDPR) berbanding secara bersemuka seperti lebih 150,000 pelajar lain.

"Secara keseluruhan, seramai 150, 355 pelajar di negeri ini memulakan sesi persekolahan penggal ketiga 2021/22 hari ini. Mereka membabitkan 85,136 murid sekolah rendah dan 65,219 pelajar sekolah menengah di 300 sekolah di negeri ini," katanya selepas menyampaikan pelitup muka kepada warga Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Minyak, di sini hari ini.

Beliau berkata, Jabatan Pendidikan Negeri dimaklumkan supaya memantau pelajar yang berada di PPS bagi memastikan keperluan pembelajaran mereka mencukupi.

"Jika ada kesukaran PDPR dan tidak boleh ke sekolah, maklumkan kepada saya. Ini kerana kebanyakkan alatan belajar seperti buku teks terjejas akibat banjir. Kerajaan negeri bersama Jabatan Pendidikikan mengambil maklum akan kerosakan buku teks atau kelengkapan sekolah lain dan akan mengganti segera," katanya.

Rais berkata, sehingga kini hanya tiga sekolah yang masih beroperasi sebagai PPS, semuanya di Jasin, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Rambai, SK Parit Penghulu dan SK Seri Mendapat yang menempatkan seramai 258 mangsa.

Rais menyampaikan pelitup muka kepada murid dan warga Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Minyak di Melaka. - NSTP/SYAFEEQ AHMAD
Rais menyampaikan pelitup muka kepada murid dan warga Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Minyak di Melaka. - NSTP/SYAFEEQ AHMAD
Berita Harian X