Ahad, 9 Januari 2022 | 3:20pm
KKM melaporkan sebanyak 2,888 kes baharu COVID-19 setakat tengah hari tadi. - Foto NSTP
KKM melaporkan sebanyak 2,888 kes baharu COVID-19 setakat tengah hari tadi. - Foto NSTP

2,888 kes baharu COVID-19

PUTRAJAYA: Malaysia mencatatkan 2,888 kes baharu COVID-19 setakat jam 12 tengah hari tadi, menyumbang kepada 2,786,219 kes kumulatif hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah kes yang dilaporkan, 2,565 kes adalah penularan tempatan iaitu 2,480 individu atau 96.7 peratus warganegara, manakala 85 lagi atau 3.3 peratus bukan warganegara.

Beliau berkata, sebanyak 323 kes import dilaporkan hari ini membabitkan 287 rakyat Malaysia dan 36 warga asing.

"Daripada 2,888 kes harian yang dilaporkan hari ini, sebanyak 36 kes (1.2 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5, manakala 2,852 kes (98.8 peratus) lagi erdiri daripada kategori 1 dan 2.

"Sebanyak 248 individu memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 117 memerlukan bantuan pernafasan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan satu kluster baharu hari ini, menyumbang kepada 6,159 kluster COVID-19 setakat ini.

Katanya, sebanyak 5,987 kluster sudah ditamatkan manakala 172 kluster masih lagi aktif.

"Pada masa sama, sebanyak 2,714 kes sudah sembuh direkodkan hari ini, menyumbang kepada 2,714,614 kes kumulatif yang sudah pulih daripada COVID-19 atau 97.4 peratus daripada keseluruhan kes yang direkodkan setakat ini," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, tiga kes jangkitan COVID-19 dalam kalangan mangsa banjir dikesan hari ini, menjadikan jumlah mereka kini seramai 469 pesakit.

Namun, katanya, tiada kes positif baharu dikesan di 55 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga negeri dilanda banjir mahupun sebarang kluster jangkitan COVID-19.

"KKM mengesan sembilan kes penyakit berjangkit dalam kalangan mangsa banjir iaitu lapan kes Jangkitan Saluran Pernafasan Akut (ARI) dan satu kes penyakit kulit," katanya.

https://covidnow.moh.gov.my/bm/cases/
https://covidnow.moh.gov.my/bm/cases/

Berita Harian X