Ahad, 9 Januari 2022 | 11:37am

Jeti SK Pulau Beluru kembali meriah

TUMPAT: Jeti Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Beluru kembali meriah dengan pengangkutan bot atau sampan memuatkan sebahagian besar murid sekolah itu yang memulakan sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022 bermula, hari ini.

Walaupun ada murid kelihatan mengantuk, ramai bersemangat sebaik turun dari bot, dikemudi ibu bapa masing-masing yang tiba di jeti sekolah seawal jam 6.45 pagi.

Bagi Mohamad Zulfadhli Mohd Zakri, 11, hari ini adalah hari yang ditunggu-tunggu memandangkan kerap bertanyakan ibunya, Azizah Wahi@Awang, 45, bila akan kembali bersekolah dan teruja menjejakkan kaki ke jeti sekolah sebaik turun dari bot yang dipandu bapanya.

Azizah berkata, tidak mempedulikan kasut yang sudah agak ketat, anak bongsu dari tiga beradik itu bangun tidur awal hari ini dan terus bersiap tanpa perlu disuruh sebelum menyusuri Sungai Kelantan kira-kira 20 minit dari rumah mereka di Kampung Pulau Che Soh.

"Kami tidak perasan bahawa kasut sekolahnya sedikit ketat kerana rasa terujanya untuk kembali ke sekolah lebih ditunjukkan namun kami akan keluar ke tanah besar beberapa hari lagi untuk membeli kasut sekolah baharu.

"Sudah kerap kali dia bertanyakan bila akan kembali bersekolah kerana rindu untuk belajar dan berada bersama rakan dalam kelas. Hari ini perasaan rindu itu terlerai," katanya ketika ditemui di jeti sekolah di sini, hari ini.

Keterujaan yang sama ditunjukkan dua beradik dari Kampung Teluk Renjuna, Mohamad Aniq Arsyad Mohd Rizal, 6, dan abangnya, Mohamad Afiq Amsyar, 10, yang datang ke sekolah dengan membonceng motosikal yang ditunggang ibu mereka, Nor Halilah Mohd Yusof, 31.

Nor Halilah berkata, walau sedikit gusar dengan situasi pandemik COVID-19 yang masih belum berakhir sepenuhnya, perasaan itu diketepikan apabila melihat keterujaan kedua-dua anaknya dapat kembali bersekolah.

"Walau si adik agak mengantuk, sebaik tiba di pintu pagar sekolah, mereka kembali bersemangat apabila melihat ramai kawan selepas lama tidak bersua.

"Rasa bimbang tetap ada namun saya yakin pihak sekolah sudah membuat persediaan rapi untuk persekolahan ini," katanya.

Murid SK Pulau Beluru menaiki bot penambang atau bot galah yang dikendalikan ibu bapa masing-masing untuk memulakan sesi persekolahan secara bersemuka pada hari pertama persekolahan hari ini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Sementara itu, Guru Besar SK Pulau Beluru, Mohd Azman Hussain, berkata persediaan sudah dibuat sejak Oktober tahun lalu lagi sebaik pembukaan persekolahan untuk murid prasekolah, Tahun Satu, Tahun Dua dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Katanya, jika ada perubahan sekalipun, sedikit penambahbaikan dibuat kerana pembukaan sekolah kali ini membabitkan semua 316 murid sekolah itu.

"Selain masih mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) asas iaitu pemakaian pelitup muka dan pemeriksaan suhu sebelum masuk ke kawasan sekolah, semua guru turut membuat persiapan tersendiri untuk menyambut kedatangan murid hari ini," katanya.

Murid SK Pulau Beluru menaiki bot penambang atau bot galah yang dikendalikan ibu bapa masing-masing untuk memulakan sesi persekolahan secara bersemuka pada hari pertama persekolahan hari ini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Murid SK Pulau Beluru menaiki bot penambang atau bot galah yang dikendalikan ibu bapa masing-masing untuk memulakan sesi persekolahan secara bersemuka pada hari pertama persekolahan hari ini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X