Ahad, 9 Januari 2022 | 10:38am

Sesi persekolahan di empat negeri berjalan lancar

KOTA BHARU: Sesi persekolahan hari pertama bagi penggal ketiga 2021/2022 di empat negeri membabitkan lebih 1.18 juta murid dan pelajar, berjalan lancar selain prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dengan baik.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata sesi persekolahan hari ini membabitkan empat negeri iaitu Kelantan, Kedah, Terengganu dan Johor.

Katanya, tinjauan di beberapa sekolah di sini mendapati kebanyakan murid dan pelajar teruja untuk ke sekolah selepas sekian lama tidak melalui proses pembelajaran bersemuka, terutama di Kelantan.

"Malah, terdapat pelajar yang tidak memakai pakaian seragam, namun ia tidak menjadi masalah kerana kita membenarkannya.

"Kehadiran pelajar hari ini juga memberangsangkan namun ada yang tidak hadir atas alasan tertentu termasuk faktor kesihatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail sempena pengoperasian hari pertama sekolah, di sini, hari ini.

Murid teruja untuk ke sekolah selepas sekian lama tidak melalui proses pembelajaran bersemuka. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Murid teruja untuk ke sekolah selepas sekian lama tidak melalui proses pembelajaran bersemuka. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Radzi turut mengingatkan ibu bapa serta pihak sekolah supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak penularan COVID-19.

"Untuk isu ketidakhadiran ke sekolah, kita lebih terbuka namun ibu bapa diminta memaklumkan kepada guru kerana kita hanya mahu tahu punca tidak hadir untuk direkodkan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Radzi berkata, pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan pelaksanaan vaksin membabitkan murid sekolah lebih teratur.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin ketika hadir melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail sempena pengoperasian hari pertama sekolah di Kelantan. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin ketika hadir melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail sempena pengoperasian hari pertama sekolah di Kelantan. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X