Sabtu, 8 Januari 2022 | 11:58pm
Pavilion Malaysia hari ini meraikan Hari Malaysia dengan memberi penghormatan ke atas pencapaian negara dalam sektor utama seperti ekonomi, sosial, budaya, sains dan teknologi. - Foto hiasan
Pavilion Malaysia hari ini meraikan Hari Malaysia dengan memberi penghormatan ke atas pencapaian negara dalam sektor utama seperti ekonomi, sosial, budaya, sains dan teknologi. - Foto hiasan

Ekspo 2020 Dubai sambut Hari Malaysia

KUALA LUMPUR: Pavilion Malaysia hari ini meraikan Hari Malaysia dengan memberi penghormatan ke atas pencapaian negara dalam sektor utama seperti ekonomi, sosial, budaya, sains dan teknologi, sempena hari penghormatan yang diberikan oleh Ekspo 2020 Dubai kepada negara-negara yang mengambil bahagian.

Ia juga adalah pencapaian 100 hari penyertaan Malaysia di Ekspo 2020 Dubai, yang berlangsung dari 1 Oktober 2021 hingga 31 Mac 2022, kata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam kenyataan hari ini.

Delegasi Malaysia yang diketuai oleh Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Ahmad Amzad Hashim telah disambut oleh Menteri Negeri Emiriyah Arab Bersatu Ahmed Ali Al Sayegh.

"Ekspo 2020 Dubai yang bertemakan "Menghubung Minda, Mencipta Masa Depan" telah membuka banyak peluang pasaran yang baharu dan menarik bagi Malaysia dalam meningkatkan perdagangan, pelaburan serta pertukaran budaya," kata Ahmad Amzad Hashim dalam ucapan pada majlis itu sebagai mewakili Menteri MOSTI, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Ekspo 2020 Dubai juga telah memberikan Malaysia peluang untuk mengukuh kedudukannya sebagai hab ekonomi di rantau Asia Tenggara.

Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan bahawa Malaysia telah memperolehi lebih daripada RM33.9 bilion dalam potensi pulangan perdagangan dan pelaburan dalam lapan minggu pertama penyertaan di Ekspo 2020 Dubai.

Malaysia hingga minggu ke-12 telah menjana RM35.2 bilion potensi pulangan perdagangan dan pelaburan.

Pencapaian itu diraih melalui 71 Memorandum Persefahaman, Memorandum Kerjasama dan Surat Niat serta 793 petunjuk perniagaan dengan beberapa syarikat antarabangsa.

Pavilion Malaysia hingga kini telah menerima 500,000 pengunjung. - BERNAMA

Berita Harian X