Sabtu, 8 Januari 2022 | 7:03pm
Anak pokok Guarana dari Brazil dan kawasan tropika Amerika Selatan dikhuatiri mempunyai penyakit Hawar Daun Amerika Selatan (SALB). - Foto fail NSTP
Anak pokok Guarana dari Brazil dan kawasan tropika Amerika Selatan dikhuatiri mempunyai penyakit Hawar Daun Amerika Selatan (SALB). - Foto fail NSTP

Guarana masih tak dibenarkan di Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengingatkan penduduk di negeri itu supaya tidak terbabit dengan skim mempromosikan tumbuhan guarana termasuk bagi aktiviti penanaman.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata tanaman guarana masih lagi diharamkan di Sabah dan kerajaan negeri tiada perancangan untuk membangunkan industri tanaman itu.

Guarana yang berasal dari Amerika Selatan dikelaskan sebagai tumbuhan 'berbahaya' kerana terdedah dengan penyakit hawar daun Amerika Selatan (SALB).

"Sebarang produk pertanian yang diperkenalkan di Sabah harus melalui kajian, pembangunan dan proses pengkomersilan terlebih dahulu. Guarana tidak melalui proses terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan. - Foto fail NSTP
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan. - Foto fail NSTP

Beliau mengulas penularan mesej menerusi aplikasi WhatsApp yang tular baru-baru ini berkaitan pengedaran benih guarana fasa kedua kepada kira-kira 20 penduduk di Keningau.

Dalam mesej yang tular terbabit, benih pokok itu dijual RM50 dan perlu dibayar dalam tempoh tiga hari sebelum tarikh pengagihan yang dijangka pada 31 Januari ini.

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah berkata, kegiatan mengimport tanaman berisiko tinggi seperti guarana harus melalui prosedur tapisan yang ketat bagi melindungi industri sedia ada di rantau ini.

"Jabatan Pertanian tidak memberi kebenaran kepada sesiapa untuk mengimport guarana. Kerajaan Brazil menerusi Kementerian Pertanian Ternakan dan Bekalan Makanan sudah memaklumkan negara lain bahawa pihaknya tidak membenarkan eksport benih atau buah guarana.

"Oleh itu, saya meminta orang ramai tidak melayan tawaran daripada mana-mana syarikat di Sabah untuk mengusahakan tanaman guarana di tanah mereka," katanya.

Berita Harian X