Sabtu, 8 Januari 2022 | 2:48pm
(Dari kiri, atas) Tan Sri Abu Zahar Ujang, Tan Sri Ismail Omar, Datuk Seri Azman Ujang dan Datuk Seri Akhbar Satar. (Dari kiri, bawah) Datuk Dr Hamzah Kassim, Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff dan Datuk David Chua Kok Tee. - Foto NSTP
(Dari kiri, atas) Tan Sri Abu Zahar Ujang, Tan Sri Ismail Omar, Datuk Seri Azman Ujang dan Datuk Seri Akhbar Satar. (Dari kiri, bawah) Datuk Dr Hamzah Kassim, Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff dan Datuk David Chua Kok Tee. - Foto NSTP

Ahli LPPR tidak sependapat dengan Abu Zahar isu Azam Baki

KUALA LUMPUR: Enam ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) menegaskan kenyataan Tan Sri Abu Zahar Ujang berhubung dakwaan pemilikan saham dan kepentingan dalam syarikat oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki adalah pendapat peribadi pengerusi lembaga penasihat itu.

Dalam satu kenyataan mewakili Tan Sri Ismail Omar, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Seri Akhbar Satar, Datuk Dr Hamzah Kassim, Datuk David Chua Kok Tee dan Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, mereka menjelaskan, ahli lembaga yang lain tidak pernah menyuarakan pendirian sama seperti Abu Zahar.

"Dalam sidang medianya, Tan Sri Abu Zahar menyatakan bahawa selepas perbincangan panjang lebar susulan pertemuan dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pada 24 November 2021, pihak lembaga mendapati Azam tiada kepentingan kewangan mahupun manfaat dalam isu pemerolehan saham yang dilaporkan.

"Abu Zahar menyatakan bahawa pihak lembaga berpuas hati dengan penjelasan diberikan Azam, seterusnya menyatakan bahawa tiada jenayah dilakukan atau konflik kepentingan dalam hal ini. Kami ingin menjelaskan bawah ahli lembaga pengarah, sama ada dalam mesyuarat berkenaan atau pada bila-bila masa yang lain tidak pernah menyuarakan pendapat seperti dinyatakan Abu Zahar.

"Kami juga ingin menyatakan bahawa semua komen berkenaan adalah pandangan peribadi Abu Zahar," kata mereka hari ini.

Menurut enam ahli LPPR itu, sebelum sidang media terbabit, ahli-ahli lembaga penasihat berkenaan mengadakan perbincangan berasingan dengan Abu Zahar dan mencadangkan agar isu itu dirujuk kepada jawatankuasa bebas, Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah dan juga panel atau Jawatankuasa Aduan SPRM.

"Bagaimanapun, pandangan dan cadangan kami tidak dibangkitkan oleh Abu Zahar pada sidang media berkenaan," kata mereka sambil menambah, LPPR tidak mempunyai kuasa menyiasat kerana ia ditubuhkan hanya sebagai lembaga penasihat.

"Kami perlu memberi penjelasan ini untuk melindungi integriti lembaga penasihat dan institusi ini," kata mereka lagi.

Azam dilanda kontroversi berhubung dakwaan pemilikan saham di dua syarikat pada 2015. Berdasarkan laporan tahunan Excel Force Bhd 2015, beliau memiliki 2,156,000 waran dalam syarikat itu setakat 21 Mac 2016 ketika menjadi Pengarah Bahagian Siasatan SPRM.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilanda kontroversi berhubung dakwaan pemilikan saham di dua syarikat pada 2015. - Foto BERNAMA
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilanda kontroversi berhubung dakwaan pemilikan saham di dua syarikat pada 2015. - Foto BERNAMA

Ia mengundang gesaan agar siasatan dilakukan berhubung hal itu dan Azam direhatkan daripada jawatan ketua tertinggi agensi pencegahan rasuah negara. Bagaimanapun, Azam pada satu sidang media Rabu lalu, menafikan sekeras-kerasnya tuduhan beliau mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat termasuk syarikat konglomerat seperti didakwa dan tular akhir-akhir ini.

Beliau memberi alasan akaun saham itu digunakan oleh adiknya, Datuk Nasir Baki dalam urus niaga dan beliau tidak mempunyai kepentingan atau manfaat terhadap saham yang dibeli.

Abu Zahar yang turut hadir pada sidang media itu dipetik berkata, pihaknya berpuas hati dengan penjelasan Ketua Pesuruhajaya SPRM itu bahawa beliau tiada kepentingan kewangan mahupun konflik kepentingan dalam pemerolehan saham berkenaan.

Bagaimanapun, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) kelmarin menegaskan alasan Azam itu bertentangan dengan peraturan kerana Seksyen 25 Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) memperuntukkan semua akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mesti menggunakan nama pemilik manfaat sekuriti deposit atau penama yang dibenarkan.

Selain itu, Seksyen 29A SICDA menetapkan bahawa semua urus niaga sekuriti hanya boleh dilakukan oleh pemilik manfaat sekuriti atau penama yang dibenarkan. Sehubungan itu, SC meminta semua pihak terbabit, khususnya Azam untuk memberi penjelasan serta mengesahkan kenyataan yang dibuat, selain mengumpul bukti berkaitan.

Berita Harian X