Jumaat, 7 Januari 2022 | 9:27pm
Kawasan Teluk Air Tawar-Kuala Muda, lokasi penemuan spesies terancam global, burung sekendi sudu muka hitam dilihat amat berpotensi untuk diwartakan sebagai tapak ramsar dunia, yang baharu.
Kawasan Teluk Air Tawar-Kuala Muda, lokasi penemuan spesies terancam global, burung sekendi sudu muka hitam dilihat amat berpotensi untuk diwartakan sebagai tapak ramsar dunia, yang baharu.

Syor warta Teluk Air Tawar-Kuala Muda Tapak Ramsar

Kuala Lumpur: Kawasan Teluk Air Tawar-Kuala Muda, lokasi penemuan spesies terancam global burung sekendi sudu muka hitam dilihat sangat berpotensi untuk diwartakan sebagai Tapak Ramsar dunia yang baharu.

Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof Dr Ahmad Ismail, berkata penemuan spesies burung terancam di peringkat global itu membuktikan lokasi itu begitu penting untuk dijaga, sekali gus mampu menarik kehadiran lebih banyak spesies burung hijrah lain.

Pemuliharaan dan perlindungan kawasan paya bakau dan dataran berlumpur menjadi semakin sukar kepada semua pihak ketika ini kerana lokasi berkenaan diancam pencemaran dan pembangunan.

"Malaysia sebagai rakan kongsi laluan penerbangan Asia Timur-Australasia (EAAF) bagi burung hijrah komited dalam menjaga kawasan tanah basah dan mempunyai tujuh Tapak Ramsar yang diiktiraf dunia.

Prof Dr Ahmad Ismail. - Foto fail NSTP
Prof Dr Ahmad Ismail. - Foto fail NSTP

"Kawasan Teluk Air Tawar-Kuala Muda juga adalah salah satu tempat penting tanah basah yang menjadi tempat persinggahan burung-burung berhijrah dan burung air tempatan dan ia adalah antara tapak penting yang boleh dijadikan Tapak Ramsar yang baharu," katanya kepada BH, semalam.

Kelmarin BH melaporkan, burung sekendi sudu muka hitam yang terancam dan dijangka populasinya berkurang kepada kira-kira 500 ekor sahaja pada masa hadapan, dikesan muncul di muara Sungai Lahar Endin, Penaga, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang, pada 15 Disember lalu.

Penemuan burung itu di negara ini adalah mengejutkan kerana ia adalah burung hijrah yang begitu jarang dilihat di Malaysia dan biasanya ditemui di Asia Timur sahaja.

Spesis burung terancam dunia, sekendi muka hitam muncul di Pulau Pinang dirakam pada 15 Disember lalu.
Spesis burung terancam dunia, sekendi muka hitam muncul di Pulau Pinang dirakam pada 15 Disember lalu.

Malaysia kini mempunyai tujuh Tapak Ramsar iaitu Tasek Bera di Pahang; Tanjung Piai, Pulau Kukup dan Sungai Pulai di Johor; Kuching Wetland National Park, Sarawak; Lower Kinabatangan-Segama Wetlands dan Kota Kinabalu Wetlands di Sabah yang dilindungi di bawah undang-undang perhutanan, taman negeri dan tanah sama ada sebagai hutan simpanan kekal, taman negeri atau kawasan perlindungan tanah lembap.

Mengulas lanjut Ahmad berkata, Malaysia perlu menambah sekurang-kurangnya lima Tapak Ramsar yang baharu memandangkan pelbagai cabaran dalam pemuliharaan habitat dan burung berhijrah dan habitatnya.

"Antara yang dilihat berpotensi adalah Teluk Air Tawar-Kuala Muda, Matang-Kuala Gula dan Taman Alam Kuala Selangor dan mungkin satu lagi masing-masing di Sabah dan Sarawak," katanya.

Katanya, khazanah alam itu perlu diwartakan sebagai kawasan yang dilindungi sepenuhnya bagi mengekalkan hutan paya bakau dan dataran lumpur yang sedia ada daripada sebarang ancaman pembangunan.

"Misalnya, kawasan Teluk Air Tawar-Kuala Muda, kerajaan negeri Pulau Pinang dengan sokongan Majlis Perbandaran Seberang Perai dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli perlu bertindak segera untuk memastikan ekosistem ini terus kekal terpelihara, selaras dengan Draf Rancangan Tempatan Seberang Perai 2030 yang menyasarkan untuk mencalonkan kawasan ini sebagai Tapak Ramsar.

"Pada masa yang sama, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memastikan kawasan ini dilindungi sepenuhnya dan diurus dengan sempurna agar sebarang aktiviti yang dijalankan dan dirancang tidak mengancam hidupan liar dan habitat semula jadi kawasan itu," katanya.

Beliau berkata, bancian habitat oleh MNS turut menunjukkan burung berhijrah setiap tahun pada minggu pertama dan kedua Januari sejak lebih 30 tahun dahulu dan menjadi satu kerugian besar buat negara sekiranya kawasan yang kaya dengan kepelbagaian biologi ini tidak dipelihara dengan baik.

Berita Harian X