Jumaat, 7 Januari 2022 | 6:41pm
Datuk Seri Mahdzir Khalid
Datuk Seri Mahdzir Khalid

Tabika KEMAS pusat sehenti semakan kelayakan bantuan banjir

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan menjadikan Tabika KEMAS sebagai pusat sehenti semakan kelayakan bantuan pembaikan rumah pascabanjir bermula Selasa ini.

Menteri, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata bancian jumlah rumah yang perlu dibaiki dan dibina semula sedang dilakukan dan kerja-kerja pembinaan akan dilaksanakan sebaik data bancian lengkap.

Beliau berkata langkah itu bagi memudahkan semakan dan pendaftaran kelayakan diadakan.

Katanya, sebagai permulaan, Tabika KEMAS Bukit Changgang, Banting, Selangor akan dijadikan pusat sehenti bermula Selasa ini untuk mengemaskini dan menyemak data pemohon bantuan pembaikan rumah pascabanjir.

"Semua permohonan ketua isi rumah (KIR) untuk pembaikan rumah perlu dibuat melalui Pusat Kawalan Operasi Banjir, (PKOB) Daerah dan Pejabat Daerah sebelum disah dan didaftarkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri," katanya melalui kenyataan hari ini .

Mahdzir berkata, KPLB juga akan menggerakkan semua Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi membantu mengumpul data penduduk yang terkesan dengan bencana banjir untuk diserahkan kepada PKOB daerah.

Menurutnya, tempoh pembaikan bergantung tahap kerosakan dan akan dilaksanakan oleh agensi pelaksana, manakala bagi pembinaan semula rumah tempoh masa yang diambil adalah antara tiga hingga empat bulan bergantung kesediaan tapak.

Katanya, bagi Program Bantuan Rumah KPLB, peruntukan sebanyak RM15,000 disediakan untuk baik pulih rumah dan RM56,000 untuk bina baharu rumah di Semenanjung.

"Bagi Sabah dan Sarawak peruntukan disediakan berjumlah RM68,000 untuk bina baharu rumah," katanya.

Mahdzir berkata, beliau juga dimaklumkan program pembaikan rumah mangsa banjir di Negeri Sembilan sudah dimulakan.

Katanya, KPLB telah memulakan penilaian kerosakan dan dijangka kerja-kerja pembaikan akan bermula esok membabitkan sembilan rumah mangsa banjir di Kuala Klawang dan Chennah, Jelebu, Negeri Sembilan.

"KPLB menjemput kementerian dan agensi lain yang terbabit dengan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia bagi memudahkan proses menyalurkan bantuan pasca banjir di Pusat Sehenti Tabika Kemas yang disediakan KPLB.

"Lokasi dan tarikh akan dimaklumkan melalui laman web rasmi KPLB dan Bilik Gerakan Bencana KPLB di talian 03-88915827," katanya.

Berita Harian X