Jumaat, 7 Januari 2022 | 6:33pm
Hamzah bercakap pada sidang media pada Program Mekar Prihatin Pasca Banjir ketika di Dewan Komuniti Taman Sri Nanding hari ini. - Foto BERNAMA
Hamzah bercakap pada sidang media pada Program Mekar Prihatin Pasca Banjir ketika di Dewan Komuniti Taman Sri Nanding hari ini. - Foto BERNAMA

Silap pemeriksaan punca individu tanpa vaksin bebas keluar masuk negara

KAJANG: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengakui terdapat kekeliruan antara agensi kerajaan yang sepatutnya melakukan pemeriksaan terhadap individu tanpa vaksin yang bebas keluar masuk ke negara ini melalui lapangan terbang antarabangsa.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata Jabatan Imigresen tidak seharusnya dipersalahkan dalam isu ini kerana setiap individu yang melalui pemeriksaan pasukan berkenaan akan membawa bersama pas pelepasan.

"Sepatutnya sebelum mereka ambil 'boarding pass' (pas pelepasan), di situlah harus ada pemeriksaan sama ada pengembara ini sudah mendapatkan vaksin atau belum sebelum melalui pemeriksaan Jabatan Imigresen.

"Ketika melalui pemeriksaan Jabatan Imigresen pula, apabila kita sudah melakukan pemeriksaan berkaitan dokumentasi perjalanan dan individu itu memiliki pas pelepasan, maka kita akan benarkan dia lalu," katanya selepas menghadiri Program Mekar anjuran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), di Taman Sri Nanding, Hulu Langat, di sini, hari ini.

Hamzah menyerahkan kad pengenalan dan barangan bantuan kepada mangsa banjir, Azizah Noordin pada Program Mekar JPN, di Taman Sri Nanding hari ini. - Foto BERNAMA
Hamzah menyerahkan kad pengenalan dan barangan bantuan kepada mangsa banjir, Azizah Noordin pada Program Mekar JPN, di Taman Sri Nanding hari ini. - Foto BERNAMA

Hamzah berkata, kejadian seumpama ini iaitu pemeriksaan berkaitan individu yang sudah divaksin atau sebaliknya, adalah sesuatu perkara yang di luar jangkaan dan tidak pernah berlaku sebelum ini, namun akan diperbaiki secepat mungkin.

"Kita faham ini berkaitan sedikit kekhilafan dan kita sedang menentukan siapa barisan hadapan (agensi kerajaan) yang seharusnya boleh menentukan sama ada individu atau pengembara boleh diberi pas pelepasan atau tidak.

"Kita akan bincang semula dengan semua syarikat penerbangan supaya jika selepas ini mereka dapat memperbaiki lagi proses pemberian pas pelepasan kepada mana-mana individu atau penumpang, sebagai contoh sebelum pas pelepasan diberikan pekerja di kaunter penerbangan boleh memeriksa sama ada individu itu sudah divaksin atau belum," katanya.

Hamzah turut menyelar pihak tertentu yang cuba menyalahkan agensi kerajaan apabila ada individu positif virus Omicron dan tidak mempunyai rekod vaksinasi COVID-19 bebas keluar masuk dari negara ini, kerana ia sesuatu yang tidak dijangkakan.

Berita Harian X