Jumaat, 7 Januari 2022 | 5:20pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

'Tangguh umrah, jemaah tanggung kerugian besar'

KUALA LUMPUR: Jemaah umrah yang terkesan akibat penangguhan sementara umrah, terpaksa berputih mata kerana semua bayaran yang sudah dikeluarkan kepada pengendali di Arab Saudi tidak akan dipulangkan kembali.

Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA), Harun K C Ahmmu, berkata kos visa, insurans, penginapan di Makkah dan Madinah serta pengangkutan adalah lima kerugian yang terpaksa ditanggung jemaah berikutan ia sudah diterima oleh pihak pengendali di sana.

Katanya, sistem diguna pakai untuk bayaran perkhidmatan di sana adalah berdasarkan e-dompet dan apabila visa sudah dikeluarkan, semua urusan berkaitan turut akan dilakukan.

"Jadi apabila kerajaan menarik 'brek kecemasan' ini secara tiba-tiba, ini adalah kesan yang ditanggung oleh jemaah.

"Di sini, kami merayu supaya kerajaan membantu jemaah ini supaya mereka juga tidak kerugian beribu ringgit akibat tindakan secara mendadak ini," katanya kepada BH, di sini, hari ini.

BH melaporkan, kira-kira 10,000 jemaah dijangka terkesan susulan keputusan kerajaan menangguhkan ibadah umrah buat sementara waktu berkuat kuasa hari ini berikutan penularan jangkitan Omicron.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, ketika mengumumkan keputusan itu berkata, larangan berkenaan akan kekal berkuat kuasa sehingga tarikh akan dimaklumkan kelak.

Mengulas lanjut, Harun berkata, bukan hanya jemaah menanggung kerugian, sebaliknya agensi pengendali umrah juga diibaratkan seperti sudah jatuh ditimpa tangga selepas hampir 18 bulan terpaksa menutup perniagaan.

"Sewaktu kerajaan mengumumkan umrah dibuka, semua agensi pengendali membuat persediaan, menggunakan segala sumber yang ada untuk 'menghidupkan' semula perniagaan.

"Namun sekali lagi, kami akur dengan keputusan ini kerana apabila ia membabitkan kesihatan, dalam agama pun menyatakan ibadah wajib juga tidak akan menjadi wajib jika perkara ini berlaku.

"Bagaimanapun, kami juga ingin kerajaan membela agensi pengendali umrah yang seperti kais pagi makan pagi kerana kami semua juga sedang ditimpa musibah," katanya.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya hampir 500 agensi pengendali umrah yang berdaftar terkesan dengan perkara itu.

"Jika kes semakin meningkat, mungkin Kerajaan Arab Saudi tidak akan membenarkan kedatangan jemaah dan kita juga tidak tahu sampai bila ia akan ditangguhkan oleh kerajaan.

"Saya yakin kerajaan prihatin dengan perkara ini seiring dengan slogan Keluarga Malaysia oleh Perdana Menteri, jadi bantulah kami yang sedang ditimpa musibah ini juga.

"Ketika semuanya dalam keadaan baik, kami juga menjadi pembayar cukai kepada kerajaan, jadi ketika kami susah, mohon kerajaan dapat membantu dalam tempoh ini," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata prosedur operasi standard (SOP) jemaah umrah selepas ini yang pulang ke tanah air perlu diperketatkan lagi.

Katanya, jemaah perlu merancang tempat kuarantin sebaik pulang ke tanah air untuk memastikan tiada penularan jangkitan Omicron.

"Sebelum berlepas, jemaah perlu menetapkan lokasi kuarantin mereka dengan bayaran sendiri seperti di hotel dan sebagainya.

"Jemaah perlu bersedia dan mengaturkan semua urusan selepas pulang dari umrah selepas ini kerana ini adalah tanggungjawab mereka juga," katanya.

Berita Harian X