Jumaat, 7 Januari 2022 | 4:58pm

'Warga Rohingya, jangan naik kepala'

KAJANG: Semua warga Rohingya di negara ini diberi amaran supaya 'jangan naik kepala' dan melanggar segala peraturan yang ditetapkan di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata walaupun pelarian warga Rohingya adalah pemegang kad pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR), ia bukan 'lesen' untuk mereka berbuat sesuka hati dan melanggar segala peraturan di negara ini.

"Saya tak suka sesiapa yang naik kepala, melanggar undang-undang negara. Sesiapa sahaja, tak kira warganegara atau bukan mahu pun pelarian, perlu ikut undang-undang negara ini. Kalau mereka tak patuh, boleh ambil tindakan.

"Sebab itu, saya arahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya memberi perhatian pada perkara ini dan setiap anggota di lapangan perlu benar-benar faham keadaan mereka (pelarian) ini.

"Walaupun kita simpati mereka menghadapi masalah, mereka tidak boleh melakukan kesalahan yang boleh menyebabkan masalah yang lain seperti berniaga di lampu isyarat, meminta sedekah dan sebagainya," katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Program Mekar Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), di Taman Sri Nanding, Hulu Langat, di sini. Program itu bertujuan membantu memudahkan urusan mangsa banjir mendapatkan semula dokumen seperti MyKad, sijil lahir dan sijil kematian, yang hilang atau rosak akibat banjir.

Hamzah ketika sidang media selepas menghadiri Program Mekar Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), di Taman Sri Nanding, Hulu Langat, hari ini. - NSTP/Owee Ah Chun
Hamzah ketika sidang media selepas menghadiri Program Mekar Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), di Taman Sri Nanding, Hulu Langat, hari ini. - NSTP/Owee Ah Chun

Kelmarin, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff, berkata polis sedang mengesan kanak-kanak dipercayai etnik Rohingya, yang meminta sedekah dengan agresif, termasuk menunjukkan isyarat lucah kepada pengguna jalan raya sekitar ibu negara seperti tular di media sosial.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain, juga dilaporkan berkata polis sedang menjalankan siasatan mengenai pengemis jalanan yang membabitkan etnik Rohingya, yang melakukan kegiatan mengemis di bandar besar di negara ini.

Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan ada sindiket yang terbabit sebagai 'dalang' terhadap etnik Rohingya di negara ini, termasuk menggunakan kanak-kanak untuk mengemis.

Pengemis kanak-kanak dipercayai etnik Rohingya, yang dikatakan menunjukkan isyarat lucah ketika meminta sedekah. - Foto fail NSTP
Pengemis kanak-kanak dipercayai etnik Rohingya, yang dikatakan menunjukkan isyarat lucah ketika meminta sedekah. - Foto fail NSTP
Berita Harian X