Jumaat, 7 Januari 2022 | 4:02pm
Banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, baru-baru ini. - NSTP/Faiz Anuar
Banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, baru-baru ini. - NSTP/Faiz Anuar

Bah besar luar jangka berpotensi berulang - Pakar

KUALA LUMPUR: Bah besar luar jangka yang melanda Lembah Klang, khususnya di Taman Sri Muda dan Hulu Langat, baru-baru ini, berpotensi untuk berulang di kawasan terbabit kerana kriteria fizikal yang mempengaruhi bencana itu sudah dipenuhi.

Pakar geologi kejuruteraan dan mekanik tanah, Dr Nor Shahidah Mohd Nazer, berkata malah bencana serupa boleh berlaku di kawasan lain.

Justeru mahu tidak mahu, beliau berkata, masyarakat amnya perlu sentiasa bersedia untuk hidup dengan bencana sekalipun kawasan mereka tidak pernah menghadapi situasi itu buat masa ini.

"Bencana alam memang akan berlaku melalui proses eksogen di permukaan bumi. Namun, pembangunan tidak mampan dan tidak dikawal selia dengan baik, memburukkan lagi proses hakiki ini, menerusi tekanan tambahan kepada permukaan tanah serta kitaran hidrologi.

"Justeru, limpahan banjir dan tanah runtuh yang pada asasnya merupakan elemen normal tindak balas eksogen, berubah skala menjadi sesuatu yang besar serta bersifat bencana apabila tanah (baik di kawasan tinggi mahupun landai) diteroka secara tidak terkawal," katanya kepada Bernama.

Eksogen adalah proses seperti hakisan, penyusutan jisim, pemendapan dan luluh hawa tanah yang mengubah permukaan bumi.

Mengambil contoh Taman Sri Muda, Nor Shahidah yang juga pensyarah kanan di Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, kawasan berkenaan mempunyai paras air bawah tanah yang cetek, justeru mudah digenangi air kerana kapasiti penyimpanan air oleh tanah yang rendah.

"Kedudukan kawasan yang lebih landai daripada kawasan landai lain memburukkan lagi keadaan. Selain itu, wujud tanah tinggi gambut dan lempung marin di kawasan Shah Alam, iaitu dua komponen yang menyebabkan tanah sangat lembut serta tidak stabil dengan potensi pemendapan serta kadar memegang air yang tinggi.

"Justeru apabila banjir, kawasan sebegini akan paling mudah terjejas dan menyebabkan air bergenang," katanya.

Nor Shahidah menjelaskan, tekanan ke atas permukaan tanah dan kitaran hidrologi disebabkan pembangunan, bukan perkara baharu.

Sebaliknya, beliau berkata, ia sudah rancak berlaku sejak zaman pascamerdeka melalui penerokaan hutan di beberapa negeri untuk dibangunkan sebagai kawasan perbandaran.

Susulan perkembangan itu, katanya, beberapa siri kejadian banjir direkodkan, termasuk bah besar pada 1971, menandakan pengaruh manusia mula menampakkan kesan kepada alam sekitar.

"Perlu difahami, sistem sungai merupakan satu rantaian berkesinambungan dan berhubung dengan sistem sungai yang lain.

"Jadi, tidak menghairankan apabila kapasiti sungai di satu-satu kawasan meningkat, sistem sungai di kawasan lain yang terletak berpuluh kilometer jauhnya turut terkesan.

"Hujan ekstrem yang turun menambah kapasiti limpahan air melebihi biasa dan pelbagai faktor seperti sistem perparitan lemah, zon tidak telap air dan ketepuan tanah, menambah buruk kejadian banjir.

"Kejadian air pasang juga menyebabkan aliran air dari sungai ke laut terhenti seketika dan kekal bergenang di daratan," katanya.

Mengambil kira keadaan semasa termasuk perubahan iklim, Nor Shahidah menyarankan agar pembangunan di kawasan berisiko, terutama yang boleh memberi tekanan kepada sistem tanah dan hidrologi, dihadkan.

Sebagai contoh, beliau berkata, bandar yang pesat membangun perlu dihadkan jumlah projek mega agar kesemuanya tidak berjalan serentak, selain mengawal selia projek berskala kecil yang diluluskan.

"Jika ini berlaku, kemungkinan besar skala bencana dan impaknya terhadap rakyat dapat dikurangkan dengan drastik," katanya.

Selain itu, pengurusan bencana banjir perlu dilaksanakan dengan pelan kontingensi yang terancang, termasuk memperluas zon tebatan banjir, mengambil kira faktor hujan ekstrem dan kadar ketepuan tanah selepas hujan.

"Contohnya, Pakistan mengalami banjir terburuk dalam sejarahnya pada 2010 serta 2011. Keadaan itu berterusan hingga dua tahun selepas itu kerana faktor ketepuan tanah masih tinggi akibat banjir pada 2010.

"Perkara sama boleh berlaku di Malaysia jika kita tidak memastikan sistem tanah dan sungai di kawasan yang pernah dinaiki banjir, bersedia menerima hujan lebat pada masa akan datang," katanya sambil menegaskan pembinaan kawalan berstruktur amat perlu untuk membantu penyeimbangan semula kapasiti takungan air di sesuatu kawasan terjejas.

Beliau berkata, sekalipun rakyat perlu belajar hidup dengan bencana, kerajaan juga harus memastikan pengurusan bencana berada pada tahap optimum berserta pelan kawalan banjir yang komprehensif, disesuaikan mengikut keadaan geologi, geografi dan sosioekonomi kawasan.

Katanya, tahap kesiapsiagaan rakyat juga perlu dipertingkat melalui hebahan maklumat yang pantas, selain melatih mereka sentiasa berwaspada terhadap amaran dikeluarkan pihak berkuasa.

Nor Shahidah juga berpendapat, sudah tiba masa untuk kerajaan mengkaji semula sistem mitigasi yang ada kerana ia wujud sejak era 80-an serta 90-an dengan kebanyakannya tidak membuat unjuran kepesatan pembangunan dan populasi penduduk terkini.

Ini termasuk sistem terowong SMART yang dilihat sebagai antara sistem paling ke hadapan ketika mula beroperasi pada 2007.

Selepas 15 tahun beroperasi, katanya, kemampuan terowong itu perlu dikaji semula dengan mengambil kira perkembangan semasa.

Malah di Jepun, beliau berkata, pakar negara itu turut meragui kemampuan sistem terowong mega bawah tanah di Tokyo yang beroperasi sejak 2006, dalam menampung perubahan iklim yang ekstrem.

"Jika sistem negara lain dengan kapasiti jauh lebih besar turut terkesan oleh perubahan iklim, apatah lagi kita. Tambahan pula, kedudukan negara yang terletak berdekatan garis lintang Khatulistiwa menyebabkan taburan hujan negara kita adalah lebih banyak dan lebat," katanya.

Pandangan serupa turut dikongsikan pensyarah kanan Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Ir Ts Azinoor Azida Abu Bakar yang berpendapat teknologi diguna pakai sejak sedekad lalu mungkin sudah tidak lagi sesuai dengan keadaan semasa.

"Impak perubahan iklim dan cuaca ekstrem menyebabkan pendekatan serta penyelesaian terbaik dalam mencegah dan menguruskan bencana alam, berubah dari semasa ke semasa.

"Teknologi digunakan 10 tahun lalu berkemungkinan tidak relevan untuk digunakan pada masa kini dan akan datang.

"Berikutan perubahan iklim serta pembangunan pesat yang kita hadapi sekarang dan pada masa depan, bencana banjir mungkin akan berlaku dengan lebih kerap dan teruk berbanding masa lalu. Oleh itu, strategi lebih efektif perlu dilaksanakan untuk memastikan bencana ini dapat ditangani," katanya.

Beliau berkata, antara langkah terbaik ialah menyediakan infrastruktur tebatan banjir bagi perlindungan lebih komprehensif.

Katanya, pendekatan kerajaan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dilihat menitikberatkan pengurusan banjir secara efektif dan efisien apabila menggunakan kaedah 'hard' dan 'soft engineering' yang bertujuan mengurangkan risiko serta kesan negatif banjir di seluruh negara.

Beliau menjelaskan, kaedah 'hard engineering' memberi tumpuan pada kerja kejuruteraan seperti pembinaan empangan, kolam takungan, benteng sungai, lencongan sungai, memperdalam dan melebarkan sungai, jajaran semula sungai serta menyediakan sistem pam.

"Walaupun perhatian lebih diberi kepada pembinaan infrastruktur, pengalaman (bencana) lalu yang telah diperoleh menunjukkan bahawa strategi itu perlu disokong oleh langkah 'soft engineering' (kaedah mesra alam) supaya dapat menyelesaikan masalah banjir secara berkesan dan menyeluruh," katanya.

Azinoor Azida berpendapat, 'kaedah kawalan di punca' melalui penggunaan Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) bagi kawasan pembangunan baharu, boleh mewujudkan kawasan landskap yang telap air.

"Menerusi saliran mesra alam ini, air hujan akan terkumpul di dalam tasik atau kolam buatan yang dibina di sesebuah kawasan pembangunan dan akan hanya dilepaskan ke dalam sistem saliran sedia ada apabila hujan berhenti, untuk mengelakkan banjir.

"Kaedah seperti ini juga perlu diperluaskan, (kerana) selain mewujudkan landskap telap air, ia juga dapat melestarikan alam sekitar, di samping memperkenal dan mempromosikan konsep 'living with floods'," katanya.

Mengulas lanjut, Azinoor Azida berkata, peningkatan kawasan tidak telap air disebabkan pertambahan kawasan urbanisasi seperti kawasan perumahan, perbandaran dan jalan raya, turut menyebabkan air larian permukaan bertambah mendadak apabila berlaku hujan lebat.

Justeru, katanya, sistem perparitan dalaman sedia ada perlu dinaik taraf bagi menampung kadar hujan yang semakin meningkat. – BERNAMA

Berita Harian X