Jumaat, 7 Januari 2022 | 3:36pm
Parti GERAKAN menggesa SPRM mengambil langkah segera bagi memulihkan tahap integriti dan ketelusan badan itu teruk terjejas ketika ini. - Foto fail NSTP
Parti GERAKAN menggesa SPRM mengambil langkah segera bagi memulihkan tahap integriti dan ketelusan badan itu teruk terjejas ketika ini. - Foto fail NSTP

'Ambil langkah segera pulihkan integriti SPRM'

KUALA LUMPUR: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil langkah segera bagi memulihkan tahap integriti dan ketelusan badan itu teruk terjejas ketika ini.

Ia susulan dakwaan pemilikan saham dan kepentingan syarikat oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, yang dikaitkan dengan rasuah.

Timbalan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Oh Tong Keong, berpandangan mana-mana pegawai SPRM yang dikaitkan dengan dakwaan seumpamanya sudah tidak layak menjalankan tugas di badan itu.

Sehubungan itu, katanya, SPRM perlu memulihkan integriti dan ketelusan badan itu dengan menunjukkan ia sebuah badan bebas dan profesional dalam mengendalikan sebarang kes berbangkit berhubung isu pemilikan saham syarikat berkenaan.

"Rakyat tidak berpuas hati dengan pencapaian SPRM sejak ia ditransformasi daripada Badan Pencegah Rasuah (BPR) kerana bilangan pegawai kerajaan yang terbabit dalam kes rasuah bukan sahaja semakin meningkat, malah kini pegawai penguatkuasaannya juga turut didakwa.

"Seseorang pegawai SPRM tidak lagi berkelayakan menjalankan tugasnya di sebuah badan yang menegakkan keadilan dan kesaksamaan sekiranya pegawai itu didakwa terbabit dalam salah guna kuasa.

"Maka, kini adalah masa yang sesuai untuk SPRM memulihkan keyakinan rakyat terhadapnya dengan menjalankan tugas mereka. Banteras rasuah bermula daripada SPRM sendiri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tong Keong menegaskan, SPRM perlu memandang serius isu berkenaan dan meneruskan usaha membanteras aktiviti rasuah dan kes penyelewengan kuasa.

"SPRM perlu meningkatkan tahap kecekapan, keberkesanan, kebebasan dan ketelusan dalam menjalankan tugas membanteras rasuah untuk menangkis persepsi negatif dalam kalangan masyarakat terhadap SPRM," katanya.

Rabu lalu, Azam dalam satu sidang media menafikan sekeras-kerasnya tuduhan beliau mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat termasuk syarikat konglomerat seperti didakwa dan tular, sejak akhir-akhir ini.

Beliau memberi alasan akaun saham itu digunakan oleh adiknya, Datuk Nasir Baki dalam urus niaga, selain Azam tidak mempunyai kepentingan atau manfaat terhadap saham yang dibeli.

Bagaimanapun, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) semalam menegaskan alasan Azam itu bertentangan dengan peraturan, kerana Seksyen 25 Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) memperuntukkan semua akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mesti menggunakan nama pemilik manfaat sekuriti deposit atau penama yang dibenarkan.

Selain itu, Seksyen 29A SICDA menetapkan bahawa semua urus niaga sekuriti hanya boleh dilakukan oleh pemilik manfaat sekuriti atau penama yang dibenarkan.

Sehubungan itu, SC meminta semua pihak terbabit, khususnya Azam untuk memberi penjelasan serta mengesahkan kenyataan yang dibuat, selain mengumpul sebarang bukti berkaitan.

Berita Harian X