Jumaat, 7 Januari 2022 | 3:31pm

Saham: Majlis Presiden PH minta siasatan bebas

KUALA LUMPUR : Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mahu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki serta Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang disiasat sebuah badan bebas atas kemungkinan kegagalan menjalankan tugas mengikut undang-undang.

Majlis berkenaan juga mencadangkan kedua-dua individu berkenaan 'direhatkan' sementara menunggu siasatan itu selesai.

Dalam satu kenyataan hari ini, majlis itu berkata pihaknya tidak dapat menerima kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Pengerusi LPPR semalam, berhubung isu berkaitan pemilikan saham oleh Azam.

"Oleh kerana kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM menunjukkan kemungkinan sudah berlaku pelanggaran undang-undang dan percanggahan kepentingan membabitkan akaun saham beliau yang diguna untuk membeli berjuta saham bagi pihak adiknya.

"Ini membabitkan undang-undang khususnya Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991, yang boleh didenda RM3 juta atau dihukum penjara 10 tahun jika didapati bersalah, serta isu punca dana yang diguna untuk pembelian jutaan saham ini," katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng serta Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Madius Tangau.

Katanya, Pengerusi LPPR pula dengan begitu mudah mengiakan penjelasan berkenaan, biarpun siasatan lebih terbuka dan menyeluruh seharusnya dilakukan, kerana membabitkan dakwaan pembelian saham bernilai jutaan ringgit di dalam syarikat tersenarai di Bursa Malaysia.

"Malah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sudah mengeluarkan kenyataan akan mendapatkan penjelasan daripada beberapa pihak termasuk Azam tentang perkara ini demi mengekalkan keyakinan pelabur asing terhadap pasaran dana di Malaysia," katanya.

Mereka juga berpandangan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak boleh berdiam diri dan selaku Ketua Majlis Parlimen, beliau harus memanggil sidang khas Parlimen bagi menjelaskan keadaan sebenar berhubung isu saham Azam.

"Beliau juga perlu memberi penjelasan bagaimana pengurusan dan pentadbiran SPRM menjadi rosak sehingga boleh berlaku kes-kes yang meranapkan imej institusi, termasuk kecurian RM25 juta wang kes Datuk Hasanah Abdul Hamid dan rompakan RM700,000 oleh pegawai-pegawai SPRM.

"Oleh itu, kami mengulangi pendirian siasatan penuh dilakukan badan bebas yang tiada kaitan dengan SPRM terhadap bukan saja Ketua Pesuruhjaya sedia ada, malah juga terhadap Ketua-Ketua Pesuruhjaya yang sudah berkhidmat sebelum ini," katanya.

Pada masa yang sama, jelasnya Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Pengerusi Lembaga Penasihat SPRM sedia ada perlu direhatkan sehingga siasatan bebas itu selesai.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga perlu membuka kertas siasatan untuk menyiasat sekiranya telah berlaku sebarang pelanggaran undang-undang, seperti yang telah didakwa pelbagai pihak," katanya.

Katanya, mereka juga kesal kontroversi berkaitan pemilikan saham dalam syarikat Bursa Malaysia oleh Azam sudah menjejaskan integriti dan melumpuhkan kredibiliti SPRM di mata rakyat malah juga di peringkat antarabangsa, seperti kenyataan yang dibuat Transparency International (TI).

Berita Harian X