Jumaat, 7 Januari 2022 | 2:46pm
 Foto hiasan
Foto hiasan

Permohonan biasiswa Kerajaan Jepun dibuka hingga 18 Februari

KUALA LUMPUR: Permohonan biasiswa tajaan Kerajaan Jepun (Monbukagakusho:MEXT) bagi rakyat Malaysia yang ingin melanjutkan pelajaran dalam Pengajian Jepun dan Latihan Perguruan di negara itu dibuka untuk permohonan sehingga 18 Februari ini.

Kedutaan Jepun di Malaysia dalam kenyataan menjemput rakyat Malaysia yang berkelayakan untuk memohon biasiswa bagi kedua-dua kursus berkenaan yang akan bermula Oktober tahun ini.

Penerima biasiswa Pengajian Jepun akan mendapat elaun bulanan sebanyak 117,000 yen (kira-kira RM4,400), manakala penerima biasiswa Latihan Perguruan pula 143,000 yen (RM5,400) tertakluk kepada perubahan.

"Yuran untuk peperiksaan kemasukan universiti, matrikulasi dan tuisyen di universiti dikecualikan dan tiket kapal terbang pergi dan balik juga disediakan bagi penerima biasiswa yang layak.

"Kedutaan Jepun akan menghubungi pemohon yang memenuhi syarat melalui e-mel bagi menghadiri temuduga yang dijangka berlangsung awal Mac ini," katanya dalam kenyataan.

Bagi pemohon biasiswa Pengajian Jepun (kursus bukan ijazah) yang akan berlangsung selama setahun, pemohon mesti berusia antara 18 hingga 29 tahun pada 1 April tahun ini atau dilahirkan antara 2 April 1992 hingga 1 April 2004.

Pemohon mestilah mahir dalam bahasa Jepun dan terdiri daripada siswazah tahun dua atau tahun tiga (bukan tahun akhir) yang pengkhususan dalam Bahasa Jepun atau Kebudayaan Jepun di mana-mana universiti selain universiti di Jepun.

Permohonan mesti sampai di Kedutaan Jepun di Malaysia sebelum jam 4 petang, 18 Februari ini. Untuk maklumat lanjut, hubungi 03-2177-2600 (146) atau layari https://www.my.emb-japan.go.jp/itpr_en/scholarship.html.

Bagi Latihan Perguruan (kursus bukan ijazah), pemohon mesti berusia di bawah 35 tahun pada 1 April 2022 atau dilahirkan pada atau selepas 2 April 1987.

"Pemohon mestilah siswazah universiti atau Maktab Perguruan yang sudah bekerja sebagai guru di sekolah rendah atau menengah atau staf akademik di Maktab Perguruan dengan sekurang-kurangnya lima tahun pengalaman bekerja.

"Pemohon juga mesti mahir dalam Bahasa Inggeris dan berkebolehan untuk belajar Bahasa Jepun dan permohonan perlu dibuat kepada Kementerian Pendidikan Malaysia," menurut kenyataan itu.

Untuk keterangan lanjut bagi guru sekolah kerajaan, hubungi Aida Mohd Anip di talian 03-8884 1048 atau e-mel aida.mohd@moe.gov.my, Nur Izzati Marzuki (03-8321 7136 atau e-mel izzati.marzuki@moe.gov.my)

Bagi guru sekolah swasta, e-mel ke edu@kl.mofa.go.jp untuk mendapatkan borang permohonan.

Berita Harian X