Jumaat, 7 Januari 2022 | 1:38pm
 Anggota Unit Tindakan Khas PDRM dan JBPM Segamat membawa bantuan keperluan asas untuk mangsa banjir di Kampung Chodan selepas penduduk terputus bekalan kerana laluan ditenggelami air. - Foto Bernama
Anggota Unit Tindakan Khas PDRM dan JBPM Segamat membawa bantuan keperluan asas untuk mangsa banjir di Kampung Chodan selepas penduduk terputus bekalan kerana laluan ditenggelami air. - Foto Bernama

Khemah jadi pusat sehenti 71 mangsa banjir Kampung Chodan

SEGAMAT: Sebuah khemah dibina Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) diibaratkan 'pusat sehenti' bagi 71 penduduk Kampung Chodan di sini, apabila menjadi tempat mendapatkan bantuan makanan dan keperluan asas, selain pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir.

Khemah seluas enam meter persegi yang terletak kira-kira dua kilometer dari Sungai Chodan itu dibina Ahad lalu selepas balai raya yang sepatutnya dijadikan PPS ditenggelami air akibat limpahan air sungai itu.

Selain menjadi tempat berlindung bagi 12 mangsa banjir daripada empat keluarga, khemah itu juga turut menjadi tempat penduduk kampung yang tidak dipindahkan untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan daripada kakitangan perubatan.

Penduduk kampung, Shima Yahaya, 39, berkata rumah keluarganya yang terletak berhampiran sungai ditenggelami air, selain PPS di Kampung Tekam dan balai raya berhampiran turut dinaiki air, menyebabkan mereka hilang arah untuk mendapatkan perlindungan.

"Keperluan di sini semua mencukupi dari segi bantuan makanan dan pemeriksaan kesihatan. Penduduk yang tidak tinggal di khemah ini juga datang mendapatkan bantuan dan pemeriksaan kesihatan secara percuma disediakan badan bukan kerajaan (NGO).

"Kami bersyukur dengan bantuan ini dan berharap air akan surut, tetapi selalunya ia mengambil masa lama," katanya.

Penghulu Mukim Pogoh, Hamzah Abu Bakar, berkata Kampung Chodan menerima limpahan air daripada Sungai Muar dan Segamat, malah pertembungan air daripada dua sungai itu menyebabkan kawasan itu dinaiki air walaupun keadaan cuaca panas dan tidak hujan sejak beberapa hari lalu.

"Pogoh termasuk Kampung Chodan ini kawasan tradisi banjir dan setakat ini, sembilan PPS dibuka dengan pelbagai bantuan disalurkan daripada agensi kerajaan dan NGO.

"Mereka yang tidak tinggal di PPS juga akan dibantu dan kami mempunyai rekod mangsa yang berpindah atau tidak," katanya selepas meninjau keadaan khemah itu bersama pasukan Unit Tindakan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Segamat.

Tinjauan sekitar mukim Pogoh seperti Kampung Tekam dan Chodan mendapati kawasan itu seperti pulau kecil dengan laluan utama dipenuhi air dan hanya boleh dilalui dengan menaiki bot. – BERNAMA

Berita Harian X