Jumaat, 7 Januari 2022 | 1:23pm

'Pemberi maklumat dilindungi akta'

KUALA LUMPUR: Pemberi maklumat berkaitan aktiviti haram atau salah laku seperti rasuah dan pelakuan jenayah boleh diberi perlindungan mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Peguam Fahmi Abdul Moin berkata, akta itu memperuntukkan perlindungan kepada saksi atau pemberi maklumat, namun ia tidak menghalang mana-mana individu yang berasa dirinya dianiaya berikutan pendedahan pemberi maklumat, untuk mengemukakan tuntutan saman.

Beliau yang juga bekas Timbalan Pendakwa Raya berkata, individu terbabit perlu berani berdepan untuk membuktikan segala maklumat didedahkan adalah tidak betul dan berniat jahat serta menyangkalnya di mahkamah.

"Setiap pemberi maklumat dilindungi akta tetapi individu yang dilaporkan melakukan kesalahan itu jika berasa teraniaya dan mempunyai bukti menafikan kesalahan berkenaan boleh berbuat demikian di mahkamah," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Fahmi berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengemukakan surat tuntutan (LOD) kepada aktivis antirasuah dan penyelidik, Lalitha Kunaratnam berhubung dua artikel ditulisnya.

Menerusi akaun Twitternya semalam, Lalitha mengesahkan menerima surat tuntutan bertarikh 6 Januari itu, yang diterimanya daripada firma guaman Zain Megat & Murad yang mewakili Azam.

Pakar ekonomi, Prof Dr Edmund Terence Gomez semalam pula mendedahkan, dalam LOD itu, individu berkenaan dituntut memohon maaf atas laporan ditulisnya, membuat permohonan maaf terbuka dan membayar ganti rugi RM10 juta.

Gomez berkata, beliau terkejut kerana pemberi maklumat yang membangkitkan persoalan sah berkepentingan negara, berdepan tindakan undang undang oleh Azam.

Beliau menggesa Azam menarik balik LOD berkenaan serta-merta dan menghentikan cubaannya untuk menjadikan pendedah maklumat sebagai mangsa.

Kelmarin, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang pada sidang akhbar khas, berkata pihaknya mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau percanggahan kepentingan membabitkan Azam dalam urus niaga saham pada 2015.

Katanya, LPPR pada mesyuarat khas 24 November lalu mendapatkan penjelasan Azam bahawa akaun sahamnya digunakan adiknya, Nasir Baki, untuk membeli saham pada 2015.

Abu Zahar berkata, pembelian saham berkenaan dibuat di pasaran saham terbuka dan tiada sebarang percanggahan kepentingan bagi pembelian saham berkenaan pada 2015 dan saham itu juga sudah dipindahkan kepada Nasir pada tahun sama.

Berita Harian X