Jumaat, 7 Januari 2022 | 11:02am

Saham: PAS sambut baik penjelasan Azam

PUTRAJAYA: PAS menyambut baik kenyataan terbuka Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang memberikan penjelasan berhubung dakwaan beberapa pihak terhadapnya mengenai pemilikan saham dalam beberapa syarikat.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata langkah itu amat tepat kerana ia membabitkan integriti SPRM sebagai sebuah badan penguat kuasa pencegahan rasuah di negara ini.

Menurutnya, kenyataan terbuka Azam itu adalah penafian terhadap tuduhan berkenaan dan diharap dapat menghentikan tindakan beberapa pihak yang sengaja membangkitkan isu seumpamanya bagi menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat, sekali gus menggugat kestabilan negara bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, dengan itu beban pembuktian terletak ke atas pihak yang masih terus membuat dakwaan yang serupa bagi membuktikan segala tuduhan ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM berkenaan berasas.

"Sekiranya tidak ia adalah sekadar tuduhan melulu dan PAS yakin yang pihak berkuasa akan meneliti kenyataan itu dan menilai seterusnya mengambil tindakan yang adil kepada semua pihak berdasarkan fakta dan undang-undang," katanya melalui kenyataan media hari ini.

Azam dalam satu sidang media khas pada Rabu lalu menafikan sekeras-kerasnya tuduhan beliau mempunyai kawalan ke atas beberapa syarikat termasuk syarikat konglomerat.

Beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai satu penipuan besar pihak tertentu untuk memberi persepsi negatif yang direka bagi menjatuhkan reputasinya dan SPRM.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap akaun media sosial Edisi Siasat yang sejak beberapa bulan lalu mendakwa berlaku salah laku membabitkannya.

Dalam sidang media sama, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) turut berpuas hati dengan penjelasan Azam, yang beliau tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam pemilikan saham didakwa miliknya.

Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang, berkata panel lembaga itu memanggil Azam, 24 November lalu dan dimaklumkan olehnya, adik beliau, Nasir Baki menggunakan akaunnya untuk membeli saham berkenaan pada 2015.

Katanya, Azam memaklumkan beliau tidak mempunyai sebarang kepentingan bagi pembelian mahu pun pemilikan saham berkenaan.

Berita Harian X