Jumaat, 7 Januari 2022 | 10:42am
Gambar hiasan
Gambar hiasan

6 sungai melepasi paras bahaya

KUALA LUMPUR: Aras air enam sungai di Pahang dan Johor melepasi tahap bahaya, dengan sekurang-kurang satu sungai masih menunjukkan trend meningkat, pagi ini.

Berdasarkan maklumat Portal Public InfoBanjir bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), masing-masing tiga sungai di Pahang serta Johor mencatat amaran merah ketika bacaan aras air direkodkan antara jam 9 hingga 9.30 pagi tadi.

Di Pahang, aras air Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan, merekodkan bacaan 16.25 meter (m), melebihi paras bahaya 14.9m tetapi kini dalam trend menurun.

Sungai Bera di Jambatan Sungai Bera, Bera, turut melepasi paras bahaya dengan aras air setinggi 26.48m, dan tiada menunjukkan sebarang perubahan sama ada menaik atau menurun setakat jam 9.15 pagi tadi.

Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera pula mencatat bacaan 30.86m (paras bahaya 30.5m) setakat jam 9.15 pagi tadi, namun menunjukkan trend menurun.

https://publicinfobanjir.water.gov.my/
https://publicinfobanjir.water.gov.my/

Di Johor, Sungai Muar di Liang Batu, Muar, merekodkan bacaan 2.77m (paras bahaya 2.13m) setakat jam 9.30 pagi tadi, dan masih meningkat.

Turut melepasi paras bahaya ialah Sungai Muar di Panchor yang mencatat bacaan 2.4m, dan Sungai Pagoh di Kampung Olak Sepam, Muar (3.34m).

Bagaimanapun, kedua-dua paras air di Sungai Muar serta Sungai Pagoh itu menunjukkan trend menurun ketika bacaan direkodkan, masing-masing sekitar jam 9.30 pagi dan 9 pagi tadi.

Sementara itu, tujuh sungai di tiga negeri melepasi tahap amaran atau jingga, iaitu satu di Pahang, Johor (empat) dan Melaka (dua).

Sungai berkenaan ialah Sungai Kundang di Jambatan Sungai Kundang, Maran, Pahang; Empangan Bekok, Batu Pahat; Sungai Muar, Segamat; Sungai Kesang dan Sungai Tangkak, Tangkak; Sungai Kesang, Jasin; dan Sungai Melaka di Melaka Tengah.

Sementara itu, seramai 782 mangsa banjir daripada 218 keluarga masih ditempatkan di 22 pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang, setakat jam 8 pagi tadi.

Menurut laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang, jumlah itu membabitkan mangsa banjir di Temerloh, Maran, Pekan, Rompin dan Bera.

Bagaimanapun, jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding 1,369 mangsa banjir (410 keluarga) di 32 PPS, semalam.

Berita Harian X