Jumaat, 7 Januari 2022 | 10:39am

LPPR tidak ada kuasa 'membersihkan' Azam

KUALA LUMPUR : Peranan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) dalam isu dakwaan pemilikan saham oleh Tan Sri Azam Baki bukannya bertujuan membersihkan nama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.

Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang menegaskan pihaknya juga tiada kuasa untuk berbuat demikian.

Katanya, tujuan panel lembaga itu memanggil Azam pada 24 November lalu adalah untuk mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan berkenaan yang tular di media sosial kerana ia menimbulkan pandangan negatif terhadap SPRM.

"Saya setuju bahawa LPPR tiada kuasa untuk membersihkan nama Tan Sri Azam. Kami hanya meminta beliau memberi penjelasan yang sebenar-benarnya di atas segala tuduhan berkenaan saham-saham yang dibangkitkan.

"Kita nak tahu fakta dan keadaan yang sebenarnya dan bukan bertujuan untuk membersihkan namanya," katanya kepada BH, hari ini.

Abu Zahar berkata LPPR tidak akan melindungi mana-mana pegawai suruhanjaya berkenaan yang terbabit dalam kesalahan undang-undang khususnya rasuah dan salah guna kuasa.

"LPPR telah tegaskan bahawa kita tidak akan kompromi atau melindungi sesiapa saja dalam kalangan pegawai SPRM yang melakukan kesalahan undang-undang khususnya rasuah dan salah guna kuasa," katanya.

Pada Rabu lalu, Abu Zahar dalam sidang media khas menyatakan LPPR yang juga satu daripada lima badan pemantau bebas SPRM, mendapati mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau percanggahan kepentingan membabitkan Azam dalam urus niaga saham pada 2015.

Katanya, LPPR dalam mesyuarat khas pada 24 November lalu mendapatkan penjelasan Azam dan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu menjelaskan bahawa akaun sahamnya digunakan oleh adiknya, Nasir Baki untuk membeli saham pada 2015.

Abu Zahar berkata, pembelian saham berkenaan dibuat di pasaran terbuka dan tiada sebarang percanggahan kepentingan bagi pembelian saham berkenaan pada 2015, dan saham itu juga telah dipindahkan kepada Nasir pada tahun yang sama.

Beliau berkata, selepas berbincang dengan panjang lebar, ahli-ahli LPPR berpendapat bahawa Azam tiada sebarang kepentingan 'pecuniary' (kewangan) mahupun benefisial ke atas saham berkenaan.

"Justeru, LPPR berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan dan mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau 'conflict of interest' (percanggahan kepentingan) dalam perkara itu," katanya.

Semalam, Suruhanjaya Sekuriti (SC) berkata pihaknya akan mendapatkan penjelasan daripada semua pihak termasuk Azam mengenai isu berkenaan.

Berita Harian X