Khamis, 6 Januari 2022 | 7:55pm
Takahashi Katsuhiko (kanan) dan Mohd Khairul Adib (kiri) pada majlis penyampaian 'Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star daripada Maharaja Jepun di Kedutaan Besar Jepun di Malaysia. - foto BERNAMA
Takahashi Katsuhiko (kanan) dan Mohd Khairul Adib (kiri) pada majlis penyampaian 'Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star daripada Maharaja Jepun di Kedutaan Besar Jepun di Malaysia. - foto BERNAMA

Penjawat awam tertakluk kepada undang-undang sedia ada - KPPA

KUALA LUMPUR: Mana-mana penjawat awam yang terpalit dengan isu membabitkan 'kewangan' adalah tertakluk kepada peraturan dan undang-undang sedia ada yang ditetapkan kerajaan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, berkata jika penjawat awam itu terbukti melakukan kesalahan mengikut peruntukan perundangan dan akta sedia ada, maka mereka turut melakukan kesalahan berdasarkan peraturan di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Mengulas lanjut katanya, ini kerana JPA tidak mempunyai peraturan yang memperincikan mana-mana kesalahan berkaitan kewangan secara khusus.

"Ia bukan (di bawah) JPA sahaja, ...JPA sendiri perlu merujuk kepada undang-undang sedia ada. Bagi penjawat awam, kita berpandukan kepada undang-undang, peraturan dan akta tertentu yang ada.

"Ada peraturan dan akta tertentu juga dalam perkhidmatan awam namun kita tidaklah memperincikan (mana-mana kesalahan).

"Justeru, jika ia menyalahi undang-undang yang ada, maka salahlah (penjawat awam) itu," katanya.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dikaitkan mempunyai kepentingan dalam pemilikan saham yang didakwa miliknya.

Namun, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) berpuas hati dengan penjelasan Azam bahawa beliau tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam perkara terbabit.

Pada masa sama Mohd Khairul Adib berkata, negara mempunyai pelbagai undang-undang peraturan kewangan sedia ada membabitkan perkara seperti itu termasuklah melalui Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA).

Beliau berkata, adalah penting bagi setiap penjawat awam supaya mematuhi undang-undang yang ada di negara ini.

Terdahulu, Mohd Khairul Adib dianugerahkan dengan 'Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star daripada Maharaja Jepun yang disempurnakan Duta Besar Jepun ke Malaysia, Katsuhiko Takahashi.

Anugerah itu pemberian tertinggi Jepun diberi kepada pemimpin atau individu luar terhadap sumbangan mereka kepada rantau ini.

Berita Harian X