Khamis, 6 Januari 2022 | 7:21pm
Foto dirakamkan pada 3 Januari 2022 menunjukkan seorang nelayan, Jeffry Ongod dari Kampung Tinondulan Bodi, Kota Marudu memasang pukat untuk mencari rezeki di sebuah ladang kelapa sawit kampung itu. - Foto BERNAMA
Foto dirakamkan pada 3 Januari 2022 menunjukkan seorang nelayan, Jeffry Ongod dari Kampung Tinondulan Bodi, Kota Marudu memasang pukat untuk mencari rezeki di sebuah ladang kelapa sawit kampung itu. - Foto BERNAMA

RM301 juta diperlukan atasi banjir di Kota Marudu, Pitas

KOTA MARUDU: Kira-kira RM301 juta diperlukan untuk melaksanakan projek tebatan banjir bagi mengatasi masalah banjir yang sering melanda daerah ini dan Pitas.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata peruntukan itu adalah anggaran yang dibuat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk melaksanakan kerja kejuruteraan sungai.

Beliau berkata, ia membabitkan empat sungai utama di kedua-dua daerah di utara Sabah itu, iaitu Sungai Bandau, Sungai Bongon, Sungai Tandek dan Sungai Rasak.

"Ia merangkumi kerja membina permatang di sepanjang sungai, mengorek dan melebarkan sungai, menaik taraf sistem perparitan dan memasang pintu kawalan banjir.

"Bagaimanapun, sebagai penyelesaian jangka pendek, JPS akan melaksanakan projek ad-hoc untuk membersihkan parit yang tersumbat supaya air boleh mengalir dengan lancar kerana parit tersumbat juga satu daripada punca utama banjir," katanya dalam satu kenyataan selepas taklimat JPS berkaitan isu banjir, di sini, hari ini.

Sementara itu, Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan negeri berkata, masalah banjir bukan saja disebabkan infrastruktur, malah turut dikaitkan dengan perubahan iklim global yang menyebabkan hujan luar biasa termasuk di kawasan yang sebelum ini tidak pernah dilanda banjir.

"Kita perlu menjalankan kajian teliti mengenai keadaan dan perilaku sungai, bukan saja di sini tetapi juga di semua daerah di Sabah supaya kita boleh merancang apa yang kita perlu lakukan untuk mencegah banjir," katanya.

Katanya, alam semula jadi akan sentiasa mencari jalan untuk menyembuhkan diri, namun apa yang menyedihkan kebanyakan kerosakan yang berlaku terhadap alam sekitar dibuat oleh manusia.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah supaya sentiasa peka khususnya ketika musim monsun dan bersedia untuk berpindah secepat mungkin apabila keadaan memerlukan.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya tidak membina rumah terlalu hampir dengan sungai kerana ia bukan saja membahayakan diri tetapi menyalahi undang-undang tanah dan alam sekitar.

"Undang-undang rizab sungai mesti dihormati, bukan diabaikan. Undang-undang itu itu adalah untuk melindungi kita, bukan kerana kerajaan tidak sensitif atau tidak bertimbang rasa," katanya.

Kota Marudu dan Pitas paling terjejas akibat banjir bermula akhir minggu lalu dengan masing-masing lebih 3,000 dan 300 penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) sebelum situasi dilaporkan pulih hari ini.

Berita Harian X