Khamis, 6 Januari 2022 | 6:21pm
Takahashi Katsuhiko (kanan) menyampaikan The Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star Award kepada Mohd Khairul Adib (kiri) di kediaman rasmi Duta Besar Jepun ke Malaysia hari ini. - foto BERNAMA
Takahashi Katsuhiko (kanan) menyampaikan The Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star Award kepada Mohd Khairul Adib (kiri) di kediaman rasmi Duta Besar Jepun ke Malaysia hari ini. - foto BERNAMA

KPPA terima anugerah tertinggi dari Jepun

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman dianugerahkan dengan 'Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star' daripada Maharaja Jepun, hari ini.

Penganugerahan itu disempurnakan Duta Besar Jepun ke Malaysia, Katsuhiko Takahashi di kediaman rasminya dekat sini. Anugerah itu pemberian tertinggi Jepun diberi kepada pemimpin atau individu luar terhadap sumbangan mereka kepada rantau ini.

Ia dianugerahkan kepada Mohd Khairul Adib bagi memberi penghargaan atas sumbangannya yang berusaha merapatkan lagi hubungan antara Jepun dan Malaysia dalam pelbagai kapasitinya sebagai pegawai kerajaan.

Sumbangan itu termasuklah peranan besarnya dalam pertukaran individu dengan individu antara Jepun dan Malaysia melalui Dasar Pandang ke Timur yang dilancarkan Malaysia, 40 tahun lalu.

Sumbangan Mohd Khairul Adib kepada kerjasama yang baik dengan Jepun bermula pada 2004 sejak beliau bekerja di negara itu sebagai Kaunselor di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Duta Besar Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko memakaikan ‘Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star Award kepada Khairul Adib (kiri) hari ini. - foto BERNAMA
Duta Besar Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko memakaikan ‘Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star Award kepada Khairul Adib (kiri) hari ini. - foto BERNAMA

Mohd Khairul Adib berkata, kerjasama baiknya diteruskan semasa bertugas dalam Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI); Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengangkutan.

Pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Jepun atas anugerah terbabit selain berbesar hati menerimanya.

Beliau yang pernah melanjutkan pengajian di Universiti Saitama berkata, dalam skop kerjasama dengan Jepun, pihaknya akan memperluaskan biasiswa JPA kepada pelajar Malaysia yang ingin terbang ke negara itu. Sebelum ini penghantaran penuntut di bawah biasiswa JPA tertumpu kepada bidang sains, kejuruteraan dan matematik.

"Kini kita ingin meluaskan kepada bidang lain seperti ekonomi dan bahasa Jepun sendiri, ...di bawah biasiswa JPA, Jepun adalah antara negara paling ramai kita hantar penuntut ke sana.

"Di bawah biasiswa JPA, terdapat kira-kira 200 penuntut yang menyambung pengajian di Jepun di mana mereka perlu melepasi dua peperiksaan," katanya.

Beliau berkata, selain aspek biasiswa, pihaknya juga melaksanakan kursus pendek untuk penjawat awam seperti Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) dan program kepimpinan muda.

Sementara itu, Katsuhiko berkata, meskipun berdepan pandemik COVID-19 pelaburan dari Jepun ke Malaysia tidak mengalami penurunan malah negara ini dijangka menerima lebih banyak kelebihan itu selepas ini.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan syarikat di Jepun masih berminat menjalankan perniagaan di Malaysia dan menjangkakan ia bertambah baik sempena ulang tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur.

"Saya menerima banyak maklum balas positif dari syarikat Jepun yang kebanyakan mereka berminat menjalankan perniagaan di Malaysia.

"Saya berharap tahun ini bakal menyediakan peluang lebih baik untuk syarikat Jepun menjalankan perniagaan dengan Malaysia," katanya.

Berita Harian X