Khamis, 6 Januari 2022 | 5:42pm

245 kes COVID-19 disahkan Omicron, 157 babit jemaah umrah

KUALA LUMPUR: Jumlah kumulatif kes positif COVID-19 yang dikesan varian Omicron di Malaysia, setakat hari ini, ialah 245 kes dan 157 daripadanya atau 64.08 peratus membabitkan jemaah umrah.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 233 kes adalah jangkitan import manakala 12 kes lagi penularan tempatan di Sarawak.

Katanya, ia penambahan sebanyak 123 kes baharu yang dilaporkan hari ini kepada jumlah jangkitan pada 4 Januari lalu yang merekodkan 122 kes.

"Sebanyak 44 kes positif COVID-19 disahkan varian Omicron melalui jujukan genom penuh (WGS) yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan tujuh kes positif COVID-19 jangkitan tempatan di Sarawak disahkan varian Omicron oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

"Daripada 44 kes jangkitan import itu, 29 kes adalah daripada Arab Saudi, masing-masing lima kes dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Kazakhstan, tiga kes kes dari United Kingdom dan masing-masing satu kes dari Amerika Syarikat dan Tanzania.

"Sementara itu saya baru sahaja menerima lagi keputusan WGS daripada IMR sebelum sidang media ini bermula. IMR telah mengesahkan 72 lagi kes positif COVID-19 dengan varian Omicron dan 59 daripadanya adalah dari Arab Saudi," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Sementara itu, Khairy, berkata Sistem Pelaporan Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) menerima 24,042 laporan termasuk 812 laporan membabitkan dos penggalak vaksin COVID-19.

Beliau berkata, kadar pelaporan AEFI bagi dos penggalak direkodkan pada 0.14 bagi setiap 1,000 dos berbanding kadar pelaporan AEFI keseluruhan 0.42 bagi setiap 1,000 dos.

Demam, kesakitan pada tempat suntikan, sakit kepala dan keletihan antara kesan advers yang paling kerap dilaporkan oleh penerima vaksin.

Katanya, daripada jumlah laporan AEFI yang diterima bagi dos penggalak, hanya 38 laporan (atau 4.91 peratus) diklasifikasikan sebagai serius bersamaan kadar 0.007 laporan bagi setiap 1,000 dos.

"Kesimpulannya, daripada pemantauan laporan AEFI diterima oleh NPRA setakat ini, trend dan kadar pelaporan AEFI membabitkan dos penggalak tidak menunjukkan sebarang peningkatan daripada apa yang dilihat ketika pemberian dos primer," katanya.

Berita Harian X