Khamis, 6 Januari 2022 | 11:52am
Amalan untuk manfaat orang ramai lebih berpahala dan disukai Allah daripada ibadat yang memanfaatkan pelakunya sahaja. - Foto hiasan
Amalan untuk manfaat orang ramai lebih berpahala dan disukai Allah daripada ibadat yang memanfaatkan pelakunya sahaja. - Foto hiasan

Wajar tangguh umrah, rebut pahala bantu mangsa banjir

GEORGETOWN: Dalam keadaan semasa Malaysia yang berhadapan musibah banjir, usaha membantu mangsa bencana adalah lebih utama didahulukan daripada menunaikan umrah terutama bagi mereka yang pernah mengerjakannya.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, berkata amalan atau kebajikan yang manfaatnya melampaui pelakunya kepada orang lain adalah lebih berpahala dan lebih disukai Allah SWT daripada amalan yang manfaatnya hanya terhad kepada pelakunya sahaja.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor. - Foto fail NSTP
Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor. - Foto fail NSTP

Sehubungan itu, Wan Salim menyeru supaya umat Islam khususnya golongan kaya supaya merebut pahala lumayan yang dijanjikan Allah SWT bagi membantu saudaranya yang dalam kesusahan.

"Hulurkan bantuan sebanyak perbelanjaan yang anda gunakan dalam perjalanan ke tanah suci bagi membantu saudara kita yang terjejas kehidupan mereka akibat bencana alam, Insya-Allah akan diberi ganjaran pahala berganda selain kehidupan diberkati," katanya sambil menambah ibadat umrah hanya diwajibkan sekali sahaja seumur hidup.

Dalam kenyataan hari ini susulan pengumuman kerajaan mengarahkan perjalanan ibadat umrah ditangguhkan mulai 8 Januari ini, beliau berkata, umat Islam di Malaysia perlu mendapatkan penjelasan lanjut mengenai keperluan menangguhkan ibadat umrah di Tanah Suci Makkah daripada sudut hukum fiqah.

Penjelasan itu, katanya, perlu supaya tidak berlaku salah faham mengenai isu pihak kerajaan yang menghalang masyarakat Muslim daripada menunaikan kewajipan dan tuntutan agama.

Katanya, keputusan kerajaan itu dianggap wajar terutama bagi melindungi jemaah umrah daripada jangkitan pandemik COVID-19 terutama varian Omicron.

"Sebenarnya tiada pihak yang ingin menghalang sesiapa pun pergi ke tanah suci dan melaksanakan ibadat berkenaan.

"Namun dalam keadaan sekarang, ramai rakyat Malaysia mengalami kesukaran hidup pasca bencana banjir baru-baru ini, maka keutamaan wajar diberi kepada usaha membantu memulihkan ekonomi mereka yang terjejas teruk akibat bencana itu," katanya.

Mengulas lanjut Wan Salim berkata, sudah maklum bahawa ulama bersepakat mengenai kelebihan ibadat umrah, walaupun mereka berbeza pandangan mengenai hukumnya antara wajib atau sunat yang digalakkan (mustahabbah).

Namun daripada sudut lain, Wan Salim berkata, umat Islam juga digalakkan, malah boleh menjadi wajib bagi membantu saudaranya yang susah.

"Sebenarnya tiada percanggahan antara dua kewajipan ini, kedua-duanya penting dan masing-masing ada kelebihannya.

Berita Harian X