X
Khamis, 6 Januari 2022 | 11:02am
Kerja-kerja pemunggahan sisa sampah banjir giat dilakukan ketika tinjauan di Pusat Trasit Sisa Banjir Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Taman Sri Muda, Seksyen 25 Shah Alam, semalam. - BERNAMA
Kerja-kerja pemunggahan sisa sampah banjir giat dilakukan ketika tinjauan di Pusat Trasit Sisa Banjir Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Taman Sri Muda, Seksyen 25 Shah Alam, semalam. - BERNAMA

Bah tiga negeri makin pulih, mangsa di PPS berkurangan

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di tiga negeri dilaporkan semakin baik apabila jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) menunjukkan pengurangan pagi ini.

Bagaimanapun, jumlah mangsa banjir di Johor dan Sabah meningkat sedikit pagi ini berbanding malam tadi.

Di NEGERI SEMBILAN, data terkini menerusi aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan mangsa banjir menurun kepada 506 individu membabitkan 124 keluarga dengan lima PPS dibuka setakat 8 pagi ini berbanding 589 individu melibatkan 148 keluarga, malam tadi.

Sukarelawan dari Jabatan Pendidikan Negeri Kedah turut sama membantu membersihkan kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Sri Muda, Shah Alam, semalam. - BERNAMA
Sukarelawan dari Jabatan Pendidikan Negeri Kedah turut sama membantu membersihkan kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Sri Muda, Shah Alam, semalam. - BERNAMA

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir turun sedikit kepada 466 orang daripada 126 keluarga pada jam 8 pagi ini berbanding 468 mangsa daripada 128 keluarga pada jam 8 malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra, berkata semua mangsa terjejas adalah dari 14 kawasan di Alor Gajah, sembilan kawasan di Melaka Tengah dan 14 kawasan di Jasin.

Antara lembu yang mati kerana lemah setelah meredah banjir di Batu Tujuh, Segamat, semalam. - BERNAMA
Antara lembu yang mati kerana lemah setelah meredah banjir di Batu Tujuh, Segamat, semalam. - BERNAMA

Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan, masih terdapat seramai 1,369 mangsa banjir di 30 PPS melibatkan lima daerah pagi ini, sekali gus menunjukkan penurunan berbanding malam tadi dengan 1,491 mangsa.

Daerah terlibat banjir ialah Temerloh yang mempunyai mangsa paling ramai, iaitu 510 orang, manakala mangsa di Bera, Maran, Pekan dan Rompin adalah mangsa banjir gelombang kedua yang bermula tahun ini.

Sementara itu, laman web rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran melaporkan Sungai Bera dan Sungai Serting di Bera serta Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan masih melebihi paras bahaya.

Di JOHOR, mangsa banjir meningkat sedikit kepada 4,449 orang setakat 8 pagi ini, berbanding 4,253 orang malam tadi, dengan 66 PPS yang masih beroperasi.

Ketinggian air yang hampir menenggelamkan sebuah rumah di Kampung Seberang Batu Badak, Segamat, semalam. - Foto BERNAMA
Ketinggian air yang hampir menenggelamkan sebuah rumah di Kampung Seberang Batu Badak, Segamat, semalam. - Foto BERNAMA

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata enam daerah masih terjejas banjir dengan Segamat mencatatkan mangsa tertinggi iaitu 2,508 orang daripada 685 keluarga.

Empat sungai masih mencatatkan paras bahaya, iaitu Sungai Muar di Liang Batu, Muar; Sungai Muar di Kampung Olak Sepam, Muar dan Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat, selain Sungai Muar di Buloh Kasap, setakat 6 pagi tadi.

Di SABAH, jumlah mangsa banjir dilaporkan sedikit meningkat dengan 3,275 mangsa daripada 1,350 keluarga pagi ini berbanding 3,264 mangsa daripada 1,341 keluarga malam tadi.

Pemandangan dari udara keadaan beberapa kawasan ladang sawit masih digenangi air di daerah Pitas, Sabah, semalam. - BERNAMA
Pemandangan dari udara keadaan beberapa kawasan ladang sawit masih digenangi air di daerah Pitas, Sabah, semalam. - BERNAMA

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan, memaklumkan semua mangsa banjir ditempatkan di 27 PPS yang masih beroperasi di lima daerah terjejas banjir yang terletak di utara dan pantai timur negeri itu.

Kota Marudu kekal merekodkan mangsa banjir paling ramai dipindahkan dengan 2,668 orang daripada 1,161 keluarga di 14 PPS, diikuti Pitas dengan 330 mangsa daripada 129 keluarga di empat PPS, Telupid (178 mangsa, 43 keluarga, enam PPS), Paitan (54 mangsa, 10 keluarga, dua PPS) dan Sandakan (45 mangsa, tujuh keluarga, satu PPS).

Di SELANGOR, Info Bencana JKM memaklumkan jumlah mangsa banjir kekal seramai 40 orang melibatkan dua PPS di daerah Kuala Langat, iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang (25 mangsa) dan Balai Raya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Banting (15 mangsa).

Bengkel N Rajendran Motor di Dengkil menyediakan khidmat membaiki motosikal yang ditenggelami banjir secara percuma. - BERNAMA
Bengkel N Rajendran Motor di Dengkil menyediakan khidmat membaiki motosikal yang ditenggelami banjir secara percuma. - BERNAMA

Sementara itu, laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan Sungai Bernam di Rimba KDR, Sabak Bernam berada di tahap bahaya, iaitu pada ketinggian 2.9 meter, manakala Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat (3.7 meter) dan Sungai Tengi di Pekan Tanjong Karang, Kuala Selangor (2.01 meter) di tahap waspada setakat 7.45 pagi tadi. - BERNAMA

Berita Harian X