Khamis, 6 Januari 2022 | 9:14am
Paras air hampir menenggelamkan keseluruhan bahagian rumah sehingga kelihatan bumbung sahaja di Kampung Codan, Segamat, Johor. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazlaan
Paras air hampir menenggelamkan keseluruhan bahagian rumah sehingga kelihatan bumbung sahaja di Kampung Codan, Segamat, Johor. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazlaan

Mangsa banjir di Johor meningkat

JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di Johor menunjukkan sedikit peningkatan apabila 4,449 orang daripada 1,195 keluarga ditempatkan di 66 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi tadi.

Ia berbanding 4,202 mangsa daripada 1,131 keluarga di 64 PPS pada jam 12 tengah malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata peningkatan itu dapat dilihat menerusi jumlah mangsa banjir di daerah Tangkak dan Muar, sejak semalam.

Katanya, Tangkak mencatatkan 801 mangsa daripada 202 keluarga di 17 PPS pagi ini, berbanding 716 mangsa daripada 177 keluarga di 16 PPS, malam tadi.

"Di Muar turut menunjukkan peningkatan iaitu 495 mangsa daripada 130 keluarga di lima PPS pagi ini, berbanding 333 mangsa daripada 91 keluarga di empat PPS malam tadi.

"Segamat masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 2,508 daripada 685 keluarga di 36 PPS pagi ini.

"Tiga daerah lain yang turut mengekalkan angka sama ialah Mersing dengan 464 mangsa daripada 123 keluarga di enam PPS, Batu Pahat dengan 53 mangsa daripada 17 keluarga di sebuah PPS dan Kluang dengan 128 mangsa daripada 38 keluarga di sebuah PPS," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mengikut data Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, keadaan cuaca cerah di semua 10 daerah di Johor, setakat pagi ini.

Berita Harian X