Rabu, 5 Januari 2022 | 3:40pm
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menjawab pertanyaan pemberita pada sidang media khas di Ibu Pejabat SPRM hari ini. - Foto BERNAMA
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menjawab pertanyaan pemberita pada sidang media khas di Ibu Pejabat SPRM hari ini. - Foto BERNAMA

Azam Baki nafi kawal syarikat konglomerat

PUTRAJAYA: Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki menafikan sekeras-kerasnya terhadap tuduhan beliau mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat termasuk syarikat konglomerat seperti didakwa dan tular, sejak akhir-akhir ini.

Beliau menganggap ia satu penipuan besar pihak tertentu untuk memberi persepsi negatif yang direka cipta untuk menjatuhkan reputasinya dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan ini. Saya buat keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang mencemarkan reputasi saya," katanya pada sidang media khas, petang ini.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap akaun media sosial Edisi Siasat yang sejak beberapa bulan lalu mendakwa berlaku salah laku membabitkannya.

Pada masa sama, Azam berkata, memang terdapat usaha beberapa pihak yang berkepentingan atau mempunyai agenda yang tidak baik terhadap SPRM, yang mengambil kesempatan untuk terus menghakis kepercayaan masyarakat terhadap SPRM dengan menjadikan institusi Ketua Pesuruhjaya sebagai sasaran serangan bertubi-tubi.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengenal pasti siapa dan apa agenda mereka terbabit, yang dikatakannya menggunakan beberapa pihak tertentu untuk memberi tekanan terhadap SPRM.

Selain itu, Azam yang didakwa memiliki saham di beberapa syarikat, berkata beliau sudah menjelaskan perkara itu kepada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR).

Katanya, akaun sahamnya digunakan oleh adiknya, Datuk Nasir Baki, dalam urusniaganya selain Azam tidak mempunyai kepentingan atau manfaat terhadap saham yang dibeli itu.

Berita Harian X