Rabu, 5 Januari 2022 | 1:45pm

Hentikan pembalakan, kaji semula dasar

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mengisytiharkan moratorium pembalakan bagi menghentikan sementara kegiatan itu susulan banjir puing yang membawa timbunan kayu balak seperti berlaku di beberapa negeri.

Pengerusi Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Hafizuddin Nasaruddin, berkata pengisytiharan moratorium itu mustahak bagi memberi ruang kepada kerajaan untuk meneliti semula dan melakukan 'post mortem' terhadap kelemahan dasar sedia.

Perkara yang harus diberi tumpuan kerajaan, katanya mengenai zon kawasan pembalakan, kaedah pembalakan, penguatkuasaan serta penyelarasan dasar.

"Banyak benda kita kena reform (buat pembaharuan semula). Kami mohon kerajaan isytiharkan moratorium, berhenti pembalakan sebentar dan tengok balik dasar-dasar sedia ada.

"Apabila kita isytihar moratorium pembalakan, kita perlu lihat balik di manakah kelemahan selama ini. Bagi saya, kita perlu lihat semula zon kawasan pembalakan. Zon ini haruslah dikurangkan daripada kira-kira 60 peratus kawasan hutan simpan boleh dibalak, kita kena kurangkan lagi sekurang-kurangnya satu pertiga.

"Kedua, kita tak boleh lagi lakukan pembalakan tebang habis dalam hutan simpan. Saya tidak ada masalah dengan pembalakan selagi mana pembalakan itu bersifat selektif, lestari dan tanam semula selepas ditebang.

"Zon kawasan pembalakan kena lihat kembali. Jangan lakukan pembalakan di kawasan sensitif. Untuk kenal pasti kawasan itu sensitif atau tidak, kita kena dapatkan konsultasi yang menyeluruh dan dapatkan pandangan pakar geologi, pakar kejuruteraan serta input penduduk setempat supaya dapat kekang impak kejadian banjir teruk.

"Dari segi penguatkuasaan pula, jika agensi kerajaan lemah kononnya tak cukup kakitangan, jalinkan kerjasama dengan komuniti seperti Orang Asli dan penduduk setempat supaya mereka ini dapat jadi pemantau ketiga sebagai mata-mata untuk laporkan sekiranya berlaku pembalakan yang melanggar garis panduan ditetapkan," katanya kepada BH hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas muka depan BH hari ini, mengenai laporan berlaku ribuan gelinciran tanah dan aliran puing di Banjaran Titiwangsa ekoran hujan lebat luar biasa sehingga menjadi punca banjir puing yang membadai kawasan penempatan penduduk sekitar Hulu Langat, Selangor dan Bentong, Pahang, kira-kira dua minggu lalu.

Ia berdasarkan tinjauan udara lebih dua jam dilakukan Ketua Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia (APM), Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo di sepanjang lembangan Sungai Langat, Sungai Benus, Sungai Pertak, Sungai Timbul, Sungai Kerau, Sungai Telemung dan Sungai Bentung.

Puing merujuk kepada bahan runtuhan akibat gelinciran tanah, terdiri daripada bongkah batuan, kerikil, pasir, lodak, lumpur dan tumbuh-tumbuhan seperti kayu-kayan serta bahan sepanjang tebing sungai termasuk kayu, daun yang reput dan bahan daripada binaan manusia.

Mengulas lanjut, Hafizuddin berkata koordinasi lemah antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri antara punca sesuatu dasar atau perancangan yang dirangka di peringkat pusat seperti dibakul sampahkan.

Meskipun Kerajaan Persekutuan tiada kuasa dalam pengurusan hutan, air dan sumber asli negeri, katanya dasar ataupun perancangan yang sudah pun dirangka sudah cukup bagus tetapi kerajaan negeri pula didakwa tidak mengikuti garis panduan disediakan.

"Kita lihat bukan tidak ada pelan perancangan negara yang cantik dan sempurna walhal kita ada Rancangan Fizikal Negara yang memperincikan mengenai kawasan mana boleh dibuat pembangunan, kawasan mana yang perlu dilindungi atau kawasan sensitif tidak boleh dibuat pembangunan seperti di kawasan cerun dan tanah tinggi.

"Rancangan Fizikal Negara dibuat di peringkat Persekutuan tetapi di peringkat negeri mereka tak ikut. Mereka (kerajaan negeri) tak menghormati dasar yang dibuat di peringkat Persekutuan.

"Kita lihat banyak berlaku di peringkat negeri, banyak kawasan pembalakan diluluskan di kawasan sensitif alam sekitar tahap 2 dan tahap 1 pun ada. Di Perak banyak.

"Ada undang-undang yang cantik, rancangan pembangunan yang cantik tetapi tak diikuti sebab rasuah pihak tertentu seperti orang politik yang ada kepentingan tertentu," katanya.

Keadaan banjir puing di Sungai Telemung, Pahang baru-baru ini.
Keadaan banjir puing di Sungai Telemung, Pahang baru-baru ini.
Berita Harian X