Rabu, 5 Januari 2022 | 11:20am
Haziq Afif Muhammad, 12, membersihkan buku teks sekolah yang ditenggelami banjir di rumahnya di Taman Sri Nanding, Hulu Langat. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Haziq Afif Muhammad, 12, membersihkan buku teks sekolah yang ditenggelami banjir di rumahnya di Taman Sri Nanding, Hulu Langat. - Foto NSTP/Aswadi Alias

Penangguhan sesi persekolahan institusi terbabit banjir wajar - PIBG

KUALA LUMPUR: Beberapa badan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menyifatkan langkah Kementerian Pendidikan (KPM) menangguhkan sesi persekolahan bagi institusi pendidikan di negeri terbabit bencana banjir sebagai keputusan tepat.

Mereka berkata, sesi persekolahan di institusi pendidikan yang digunakan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir sememangnya tidak membolehkan sesi pembelajaran dilaksanakan di sekolah itu.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, Datuk Dr Mohamad Ali Hasan, berkata walaupun pelajar seharusnya memulakan sesi persekolahan mereka, namun penangguhan sesi persekolahan di institusi pendidikan yang digunakan sebagai PPS adalah wajar demi menjaga kemaslahatan dan keselamatan mangsa banjir.

"Tujuan sekolah digunakan sebagai PPS adalah untuk mengutamakan keselamatan dan keperluan mangsa banjir. Kita faham pelajar perlu masuk ke sekolah secepat mungkin, namun kita juga perlu prihatin dan simpati kepada mereka yang memerlukan." katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Mohammad Ali berkata, ibu bapa perlu menghantar anak mereka untuk mengikuti sesi persekolahan seperti biasa di institusi pendidikan yang tidak terjejas di negeri yang dilanda bencana banjir.

Bagi Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Sungai Renggam, M Sukumaran, penangguhan itu akan memberi ruang kepada pelajar dan keluarga membuat persiapan apabila institusi pendidikan dibuka semula.

Katanya, kebanyakan pelajar di sekolah berkenaan menetap di Taman Sri Muda, Shah Alam yang dilanda banjir baru-baru ini sudah membuat persiapan awal untuk sesi persekolahan.

"Kebanyakan guru dan pelajar sekolah ini sudah membuat persiapan persekolahan sebelum banjir dan bencana itu memusnahkan peralatan dan buku yang mereka sudah beli.

"Barangan keperluan harian perlu disediakan terlebih dulu sebelum mula sekolah. Saya menyanjung baik inisiatif sesetengah pihak yang mengedar buku rujukan kepada pelajar di sini. Saya percaya penangguhan ini akan memberi masa buat mereka (pelajar dan keluarga) untuk mencari dan membeli semula peralatan yang telah rosak," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga berkata, peristiwa banjir kali ini mendatangkan tekanan kepada pelajar dan mereka perlu diberi sokongan emosi dan mental apabila sesi persekolahan bermula kelak.

"Pelajar harus mula bersekolah secepat mungkin. Sudah lebih setahun mereka tidak berjumpa guru dan rakan mereka.

"Tetapi, sudah tentu mereka trauma disebabkan banjir ini. Khidmat kaunseling harus diberikan terlebih dulu sebelum mereka (pelajar) memulakan sesi pembelajaran supaya mereka boleh meneruskan pembelajaran dengan tenang," katanya.

Pada Isnin lalu, KPM mengumumkan terdapat 18 institusi pendidikan masih dinaiki air, 87 masih dijadikan PPS dan lapan yang terkesan akibat banjir belum bersedia untuk beroperasi.

Menurut kenyataan itu, institusi-institusi pendidikan berkenaan hanya akan dibuka selepas bersedia untuk beroperasi semula. - BERNAMA

Berita Harian X